LATEST

Rasuah bukan sekadar wang

Rasuah bukan sekadar wang

am@hmetro.com.my

Baca juga: MPHTJ, PERHILITAN ambil langkah terbaik

Kuala Lumpur: Rasuah tidak seharusnya dilihat hanya sebagai kesalahan membabitkan wang dalam jumlah besar atau ahli politik, sebaliknya turut merangkumi penyalahgunaan kuasa, jawatan, undi dan pengaruh.

Presiden Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Izlan Hakim Mohd Soleh, 21, berkata, pemahaman mahasiswa mengenai rasuah perlu diperluaskan supaya mereka tidak melihat isu itu dalam skop yang terlalu sempit.

“Mahasiswa memang cukup faham apa itu rasuah dan rasuah itu adalah salah satu jenayah. Tetapi hari ini rasuah hanya tertumpu kepada yang membabitkan jumlah wang besar ataupun ahli politik.

“Kita kena sedar, rasuah ini cukup besar kerana berdasarkan tafsiran SPRM, rasuah bukan hanya melibatkan wang tetapi juga jawatan, undi, pengaruh dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pendidikan berkaitan rasuah dan integriti perlu dimulakan lebih awal, terutama di peringkat universiti kerana mahasiswa mempunyai pemikiran lebih kritis dan terbuka untuk membincangkan isu berkenaan.

Katanya, kewujudan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) serta usaha AMAR di peringkat universiti adalah antara langkah penting bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam pada itu, Muhammad Izlan berkata, antara bentuk salah laku yang dekat dengan kehidupan mahasiswa adalah membabitkan pengurusan organisasi dan kewangan persatuan.

“Dalam kehidupan sebagai mahasiswa, kita tahu hari-hari dipenuhi program, majlis dan aktiviti persatuan atau kelab di universiti yang turut membabitkan penyata kewangan, pengurusan kewangan serta peruntukan diberikan pihak universiti.

“Antara kesalahan yang boleh berlaku adalah penipuan terhadap penyata kewangan apabila ada pihak menipu dalam penyata untuk memastikan duit itu seolah-olah digunakan sepenuhnya walhal sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan tidak berintegriti dalam kehidupan mahasiswa juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi membentuk budaya yang dibawa ke alam pekerjaan.

Katanya, perbuatan seperti meniru, membeli tugasan atau tesis, penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dan nepotisme boleh menjadi pendorong kepada berlakunya salah laku lebih serius pada masa depan.

“Perkara yang perlu kita bimbangkan ialah pemikiran yang menghalalkan matlamat dan menghalalkan cara. Bila dia boleh buat, dia fikir saya pun boleh buat, kalau saya tak buat pun benda akan jadi sama.

“Integriti tidak perlu disuntik atau diajar hanya melalui undang-undang, tetapi ia lebih kepada kehidupan seharian mahasiswa,” katanya.

Mengulas mengapa seseorang masih sanggup berkompromi dengan prinsip walaupun mengetahui rasuah adalah salah, Muhammad Izlan berkata masalahnya bukan semata-mata kurang pengetahuan, tetapi kekurangan keberanian untuk melaporkan salah laku.

Katanya, tekanan rakan sebaya, pihak atasan dan keperluan kewangan antara cabaran yang boleh menyebabkan seseorang takut untuk bersuara walaupun mengetahui sesuatu perkara itu salah.

“Walaupun seseorang itu tahu perbuatan itu salah atau ada unsur penyalahgunaan dan rasuah, mereka kekurangan satu elemen iaitu keberanian untuk melaporkan atau memberitahu pihak yang sewajarnya.

“Sebab itu hari ini kita cuba mendidik melalui KIAR mahupun AMAR sendiri satu elemen iaitu keberanian. Mereka perlu tahu hak mereka dan mereka sebenarnya dilindungi di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.

Beliau turut melihat pengaruh media sosial dan budaya Fear of Missing Out (FOMO) sebagai antara faktor yang boleh mempengaruhi anak muda membuat keputusan yang bertentangan dengan prinsip.

Menurutnya, keinginan untuk memiliki kehidupan seperti yang dipaparkan di media sosial boleh mendorong sesetengah anak muda mencari jalan mudah, termasuk menerima suapan atau melakukan penipuan.

“Faktor seperti rakan sebaya, gaya hidup dan tekanan kewangan memang boleh mempengaruhi seseorang mahasiswa, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk penyalahgunaan dan rasuah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, perkara paling membimbangkan ialah apabila salah laku mula dinormalisasikan sehingga sesuatu yang salah dianggap tidak lagi salah hanya kerana ramai melakukannya.

“Bila mana perkara itu salah tetapi sudah dibiasakan, mereka menganggap benda itu tidak salah. Itu yang kita patut takutkan.

“Kita tidak boleh kata, ‘ramai saja buat’. Kita tidak boleh membenarkan perkara itu kerana akhirnya ia adalah satu kesalahan atau jenayah,” katanya.

Muhammad Izlan berkata budaya menggunakan ‘kabel’ sehingga mengetepikan meritokrasi juga perlu dibendung kerana ia boleh menafikan peluang kepada individu yang benar-benar layak.

Dalam masa sama, beliau berpandangan mahasiswa perlu dipupuk dengan keberanian untuk berkata tidak, khususnya apabila berdepan individu yang mempunyai kuasa, kedudukan atau pengaruh lebih tinggi.

“Mahasiswa cukup berani untuk berkata tidak, namun ia lebih mudah untuk berkata tidak dengan individu atau pihak yang setara dengan kita.

“Bila berhadapan pihak atasan atau berpengaruh, keberanian itu perlu diperluaskan supaya mereka tidak lagi kembali kepada zaman ketakutan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news