LATEST
National

Nigeria bebaskan 78 individu selepas serangan konvoi Bola Tinubu

Nigeria bebaskan 78 individu selepas serangan konvoi Bola Tinubu

LAGOS: Polis Nigeria membebaskan 78 individu yang ditahan kerana terbabit dalam serangan terhadap konvoi Presiden, Bola Tinubu di ibu negara, Abuja, minggu lalu.

Baca juga: Kerajaan kekal stabil, tidak perlu rombak Kabinet, bubar Parlimen – Anwar

Pembebasan itu dibuat semalam selepas Tinubu memberikan pengampunan kepada mereka, ketika negara paling ramai penduduk di Afrika itu sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya Januari depan.

Jurucakap polis, Josephine Adeh, berkata semua individu berkenaan ditahan selepas konvoi Presiden dibaling batu dan objek berbahaya lain ketika meninggalkan sebuah masjid selepas solat Jumaat.

Serangan itu menyebabkan beberapa kenderaan rosak dan anggota keselamatan cedera.

Menurut polis, penahanan dilakukan menerusi operasi berdasarkan maklumat risikan di kawasan berkenaan.

Adeh berkata, semua suspek akan diberi amaran sebelum dibebaskan susulan pengampunan yang diberikan Tinubu, yang sedang berusaha mendapatkan penggal kedua selama empat tahun.

“Susulan pengampunan Presiden terhadap individu terbabit dalam serangan itu, pihak Presiden mengarahkan supaya semua suspek yang ditahan berhubung kejadian berkenaan diberi amaran dan dibebaskan,” katanya.

Video dikongsi di media sosial turut menunjukkan sekumpulan individu mengejek ketika konvoi Tinubu meninggalkan masjid berkenaan.

Pilihan raya di Nigeria sering dicemari keganasan, termasuk serangan oleh kumpulan samseng yang mempunyai kaitan dengan kem politik bersaing.

Polis menggesa semua parti dan penyokong supaya berpolitik secara aman serta mengelakkan keganasan, ugutan dan kenyataan berbaur hasutan.

Pada Khamis lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu program kempen parti pembangkang di Lagos yang membabitkan calon Presiden, Peter Obi, sebelum menyerang penyokong dan wartawan.

Konvoi membawa calon timbalannya, Rabiu Kwankwaso, turut diserang pada Ahad di negeri Kano, menyebabkan lima individu cedera dan beberapa papan iklan kempen rosak. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news