LATEST
World News

Ribuan pelanggan bank utama AS panik, akaun tidak boleh akses

Ribuan pelanggan bank utama AS panik, akaun tidak boleh akses

NEW YORK – Ribuan pelanggan beberapa bank utama di Amerika Syarikat (AS) melaporkan kesukaran mengakses akaun perbankan dalam talian dan menggunakan perkhidmatan pemindahan wang Zelle pada Isnin, susulan masalah teknikal di JPMorgan Chase yang turut menjejaskan transaksi dengan institusi kewangan lain.Bagaimanapun, Chase mengesahkan bahawa gangguan itu bukan berpunca daripada serangan siber dan pihaknya sedang berusaha memulihkan perkhidmatan perbankan yang terjejas.”JPMorgan Chase mengalami gangguan sementara akibat pepijat perisian dalam sistem perkakasan yang dikendalikan di premis sendiri. Ia tidak mempunyai kaitan dengan serangan siber,” kata jurucakap bank itu, Joe Evangelisti.Gangguan berkenaan berlaku beberapa hari selepas dua insiden besar menjejaskan sektor lain dalam ekonomi AS.Pada Khamis, gangguan besar pada sistem Microsoft berlarutan selama beberapa jam sehingga menjejaskan perkhidmatan termasuk Outlook, Teams dan pembantu kecerdasan buatan (AI) Copilot.Insiden itu disusuli gangguan sistem kawalan trafik udara AS pada Jumaat yang menyebabkan semua penerbangan di negara berkenaan terkandas selama beberapa jam, selain terus menjejaskan perjalanan udara sepanjang hujung minggu.Dalam kenyataan sama, Evangelisti menjelaskan bahawa masalah teknikal itu hanya melibatkan sistem Chase.”Ini bukan masalah yang menjejaskan keseluruhan sistem kewangan. Bank lain mungkin mengalami kelewatan transaksi hanya apabila urusan berkenaan melibatkan transaksi dengan kami,” katanya.Menurut AP, masalah teknikal pada Isnin itu dilihat tertumpu kepada pelanggan Chase serta pelanggan bank lain yang cuba melakukan transaksi dengan bank berkenaan.Bank lain termasuk Bank of America dan Citigroup dilaporkan tidak mengalami gangguan terhadap perkhidmatan perbankan masing-masing.Sementara itu, jurucakap U.S. Bank berkata, sistem bank berkenaan tidak terjejas secara langsung, namun pelanggan yang cuba menghantar atau menerima wang menerusi Zelle dengan institusi kewangan lain mungkin mengalami kelewatan transaksi.Zelle ialah sistem pembayaran antara individu yang digunakan oleh bank-bank utama AS bagi membolehkan pelanggan memindahkan wang kepada rakan dan ahli keluarga dalam tempoh yang hampir serta-merta.Perkhidmatan itu dimiliki Early Warning Services yang berpangkalan di Arizona, sebuah syarikat milik beberapa institusi kewangan termasuk Bank of America, Capital One, JPMorgan Chase, PNC Bank, Truist, U.S. Bank dan Wells Fargo.Jurucakap Early Warning Services mengesahkan bahawa rangkaian Zelle masih beroperasi sepenuhnya.”Masalah yang berlaku di institusi kewangan mungkin menyebabkan kelewatan pembayaran menerusi Zelle bagi sesetengah pelanggan mereka,” kata beliau. Sementara itu, sebahagian pelanggan Chase menerima mesej, memaklumkan bahawa beberapa perkhidmatan tidak dapat digunakan buat sementara waktu.- Bernama-AP

More in World News

View all

Latest news