am@hmetro.com.my
Baca juga: ‘Maaf… tiada kenyataan dari saya buat masa ini’ – Ismail Lasim
Georgetown: Langkah proaktif perlu diambil bagi menangani cabaran populasi menua yang dijangka menyaksikan 14 peratus penduduk negara berusia 65 tahun ke atas menjelang 2048.
Ia susulan Malaysia sudah melepasi ambang tujuh peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas pada 2021, sekali gus memasuki fasa demografi baharu sebagai negara menua.
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, peningkatan jangka hayat hasil kemajuan penjagaan kesihatan, pemakanan dan taraf hidup lebih baik, selain penurunan kadar kesuburan, menyumbang kepada perubahan struktur penduduk negara.
Katanya, perkembangan itu membawa implikasi besar terhadap aspek sosial, ekonomi dan penjagaan kesihatan yang memerlukan perhatian segera daripada kerajaan, majikan serta masyarakat.
“Antara kebimbangan utama ialah kecukupan dana persaraan apabila ramai rakyat Malaysia yang mula bekerja pada era 1980-an kini menghampiri atau sudah mencapai usia persaraan.
“Ketika tempoh mereka bekerja, kadar upah yang diterima agak rendah menyebabkan jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga terhad.
“Selain itu, sebahagian simpanan KWSP sudah digunakan bagi pembelian rumah, membiayai pendidikan anak-anak atau memenuhi keperluan penting lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohideen berkata, keadaan itu menyebabkan sebilangan pesara berisiko berdepan kekurangan simpanan bagi menampung kehidupan selepas bersara, khususnya berikutan peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan penjagaan kesihatan.
Ramai dalam kalangan warga emas turut menghidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan serta pengambilan ubat-ubatan secara berkala, sekali gus meningkat beban kewangan mereka.
“Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada golongan pesara, malah meningkat tekanan terhadap kewangan kerajaan berikutan pertambahan perbelanjaan bagi penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan kemudahan penjagaan jangka panjang.
“Pada masa sama, tenaga kerja semakin mengecil boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi serta mengurang hasil cukai, sekali gus menyukarkan kerajaan membiayai keperluan sosial dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat,” katanya lagi.
Menurut Mohideen, golongan generasi ‘sandwich’ turut berdepan tekanan apabila perlu menanggung keperluan anak-anak dan ibu bapa yang semakin lanjut usia secara serentak.
Situasi itu berpotensi menjejas keupayaan mereka membuat simpanan persaraan sendiri, sekali gus mewujudkan kitaran ketidakcukupan kewangan yang berlarutan antara generasi.
“Langkah strategik perlu diambil termasuk meningkat produktiviti tenaga kerja dan pertumbuhan gaji bagi membolehkan pekerja mengumpul simpanan persaraan mencukupi.
“Peluang pekerjaan fleksibel dan sambilan kepada warga emas yang masih sihat perlu diperluas, termasuk menerusi penubuhan pusat sehenti bagi urusan pekerjaan serta pemadanan kemahiran golongan pesara dengan keperluan industri.
“Ramai pesara mempunyai pengalaman dan kepakaran yang dikumpul sepanjang berdekad bekerja, ia boleh membantu menangani kekurangan tenaga kerja, malah menyediakan sumber pendapatan tambahan,” katanya.
Mohideen berkata, mekanisme perlindungan sosial juga perlu diperkukuh menerusi bantuan bersasar kepada warga emas yang mempunyai simpanan persaraan tidak mencukupi.
Katanya, kelulusan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 oleh Dewan Rakyat pada Julai lalu juga memperkukuh kerangka perundangan dana menerusi aliran masuk lebih konsisten, kawalan pengeluaran lebih ketat serta penambahbaikan aspek tadbir urus dan akauntabiliti.
“Cabaran penuaan penduduk tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu persaraan kerana ia turut berkait rapat dengan aspek gaji, penjagaan kesihatan, perumahan, produktiviti dan dasar sosial.
“Oleh itu, Malaysia perlu mengambil langkah praktikal bagi menyokong generasi yang kini memasuki usia persaraan, selain memastikan golongan muda membuat persediaan lebih baik bagi menghadapi hari tua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd