LATEST
National

Kerajaan perlu dedah asas pengurangan premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1,000

Kerajaan perlu dedah asas pengurangan premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1,000

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mendedahkan asas penilaian dan kriteria kelulusan pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000 bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun.

Baca juga: Jerman belasah Belanda 5-0, mara ke suku akhir

Bekas Ketua Pengarah Sekretariat Angkatan Masa Hadapan di Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Hamid, berkata penjelasan itu penting bagi memastikan ketelusan, keadilan dan tatakelola kerajaan dalam keputusan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan mengurangkan premium pada kadar begitu besar sukar diwajarkan, malah tiada penjelasan setakat ini yang mampu meyakinkan rakyat, khususnya orang Melayu.

“Premium asal RM4.67 juta tentu mempunyai asas penilaian. Kalau angka itu betul, bagaimana tiba-tiba boleh menjadi RM1,000? Kalau RM1,000 pula betul, apakah asas penilaian terdahulu?

“Alasan bangunan warisan agak menghairankan. KLSCAH sudah diwartakan sebagai bangunan warisan sejak 2007. Mengapa selepas hampir 19 tahun, status berkenaan kini menjadi antara alasan pengurangan premium yang begitu besar,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Mohd Radzi berkata, beliau memahami perubahan kategori tanah daripada komersial kepada institusi boleh menyebabkan penurunan nilai tanah, seperti dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Bagaimanapun, katanya, perubahan kategori itu perlu diperjelaskan sama ada munasabah untuk menyebabkan premium berkurangan hampir 100 peratus, memandangkan tanah berstatus institusi di Kuala Lumpur juga mempunyai nilai.

“Selain itu, adakah pertubuhan Melayu, India, persatuan veteran, badan kebajikan dan pemilik bangunan warisan lain juga boleh menikmati pengurangan premium sebanyak 99.98 peratus? Kalau boleh, umumkan dasar yang sama kepada semua. Jangan ada persepsi layanan terpilih,” katanya.

Mohd Radzi berkata, beliau tidak menentang KLSCAH atau usaha memelihara warisan masyarakat Cina, malah sumbangan sejarah komuniti itu wajar dihormati.

Bagaimanapun, katanya, penghormatan terhadap warisan tidak bermakna keputusan kewangan kerajaan tidak boleh dipersoalkan.

“Kerajaan perlu mendedahkan asas penilaian asal, penilaian baharu dan kriteria kelulusan pengurangan premium berkenaan. Jangan jadikan isu ini isu perkauman. Ini isu ketelusan, keadilan dan tatakelola kerajaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan Hannah menjelaskan tanah berkenaan tidak lagi mempunyai nilai komersial kerana tidak boleh dibangunkan untuk pembinaan kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya hanya boleh digunakan sebagai bangunan institusi dan warisan.

Pada 14 November lalu, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium ditetapkan pada kadar nominal RM1,000, berbanding anggaran premium terdahulu kira-kira RM4.67 juta.

Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 September lalu.

Surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober pula menetapkan premium tanah sebanyak RM1,000, manakala jumlah keseluruhan yang perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011, termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.

Kadar sewa tanah tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.

Keputusan itu susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan selepas mengunjungi dewan itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news