LATEST

Robert Pattinson dipilih galas watak James Bond terbaharu

Robert Pattinson dipilih galas watak James Bond terbaharu

H: Robert Pattinson dipilih galas watak James Bond terbaharu

Baca juga: Kerajaan Perpaduan atau percaturan dua kolam?

Bernama-Anadolu

Istanbul: Pelakon British Robert Pattinson secara rasmi dipilih untuk membawakan watak James Bond yang baharu, lapor Anadolu Ajansi.

Pengumuman dibuat Amazon MGM Studios, semalam sekali gus menamatkan spekulasi selama beberapa bulan mengenai pengganti Daniel Craig sebagai ejen perisik ikonik Britain itu.

Pelakon berusia 40 tahun yang terkenal menerusi lakonannya dalam The Batman, The Twilight Saga dan The Odyssey akan membawakan watak ejen 007 dalam filem terbaharu francais perisik yang lama bertapak dalam industri perfileman.

“James Bond merupakan antara watak paling legenda dalam dunia perfileman dan diberi kepercayaan untuk membawakan watak 007 adalah penghormatan terbesar sepanjang hidup saya.

“Saya amat berterima kasih kepada Denis, Amy, David, Tanya dan semua pihak di Amazon MGM Studios atas kepercayaan mereka terhadap saya,” kata Pattinson dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh studio itu,

Katanya, watak perisik berkenaan yang diibaratkan impian menjadi kenyataan masih belum cukup untuk menggambarkan perasaan aktor terbabit.

“Saya sangat teruja dengan kerjasama ini dan peluang untuk bekerja bersama pasukan yang hebat ini,” katanya.

Filem akan datang itu akan diarahkan oleh Denis Villeneuve yang terkenal menerusi Dune dan Blade Runner 2049, manakala skripnya ditulis oleh pencipta Peaky Blinders, Steven Knight.

Pattinson sebelum ini pernah bekerjasama dengan Villeneuve dalam Dune: Part Three yang dijadual ditayangkan di pawagam pada 18 Disember ini.

Villeneuve menyambut baik pemilihan Pattinson dengan menyifatkan pelakon British itu mampu membawa dimensi baharu kepada watak legenda berkenaan.

“Beliau memiliki jiwa 007 yang tidak lapuk ditelan zaman, selain membawa semangat yang benar-benar baharu. Saya tidak sabar untuk memulakannya,” kata pengarah itu.

Pattinson akan menjadi pelakon ketujuh yang membawakan watak Bond dalam siri filem itu selepas Sean Connery, George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Craig.

Craig kali terakhir membawakan watak berkenaan dalam filem No Time to Die pada 2021, sekali gus menamatkan pembabitannya dalam lima filem James Bond yang bermula dengan Casino Royale pada 2006.

Pemilihan Pattinson menandakan lembaran baharu bagi francais itu selepas Amazon MGM Studios memperoleh kawalan kreatif terhadap harta intelek James Bond pada Mac 2025 menerusi perjanjian dengan Barbara Broccoli dan Michael G Wilson yang sekian lama menguruskan francais berkenaan.

Filem akan datang itu akan menjadi filem James Bond pertama diterbitkan di bawah kepimpinan kreatif Amazon MGM Studios.

Tarikh tayangan filem terbaharu itu masih belum diumumkan, namun dijangka ditayangkan pada 2028.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news