hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Baca juga: Pochettino cadang Guardiola bimbing AS
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di tiga negeri sehingga jam 1 tengah hari ini.
METMalaysia menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, kawasan di Perak yang dijangka terjejas ialah Hulu Perak dan Kuala Kangsar, manakala di Pahang membabitkan Pekan dan Kuantan.
Di Sabah, amaran itu meliputi kawasan Pantai Barat (Ranau, Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu), Sandakan (Telupid, Paitan, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu).
Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran berkenaan adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam.
Dalam perkembangan berkaitan, METMalaysia memaklumkan Stesen Meteorologi Utama Tawau, Sabah merekodkan suhu harian tertinggi iaitu 34.4 darjah Celsius.
Bacaan itu diikuti Stesen Meteorologi Utama Batu Pahat, Johor dan Stesen Meteorologi Utama Limbang, Sarawak yang masing-masing mencatatkan suhu 33.8 darjah Celsius.
Sementara itu, Stesen Meteorologi Utama Bintulu, Sarawak merekodkan jumlah hujan harian tertinggi sebanyak 41.4 milimeter (mm), diikuti Stesen Meteorologi Utama Kapit, Sarawak dengan 30.8mm dan Stesen Meteorologi Utama Kluang, Johor sebanyak 29.8mm.
© New Straits Times Press (M) Bhd