Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membidas pemimpin UMNO dan PAS yang didakwanya sengaja memainkan sentimen kaum serta agama berhubung keputusan kerajaan mengenakan premium tanah RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Menerusi hantaran di Facebook, Hannah menjelaskan bangunan berusia 103 tahun yang diwartakan sebagai warisan sejak 2007 itu tidak lagi mempunyai potensi pembangunan komersial selepas status tanahnya ditukar kepada tanah institusi.
Baca juga: Anak dapat semua A, tapi kalau tak beradab apa gunanya?
Menurutnya, KLSCAH turut menanggung defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000 akibat peningkatan kos penyelenggaraan, keadaan bangunan yang semakin berusia serta keperluan menaik taraf aspek keselamatan dan kemudahan teknikal.
“Pemimpin UMNO dan PAS dan segelintir penunggang agama kuat mainkan isu ini sejak semalam sebab Kerajaan MADANI mengenakan premium tanah sebanyak RM1000 sahaja kepada KLSCAH.
“Kenapa RM1000 sahaja? Sebab KLSCAH rela tukar status tanah kepada tanah institusi yang hilang potensi pembangunan tinggi condo atau mall,” katanya.
Hannah turut menyelar pihak yang mendakwa kerajaan mengorbankan hasil sehingga RM4 juta, selain mengaitkan keputusan itu dengan layanan istimewa terhadap kaum tertentu.
Beliau menjelaskan premium tanah, cukai tanah, cukai taksiran, cukai pendapatan dan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) merupakan bayaran berbeza yang tidak sepatutnya dikelirukan.
“Letihlah nak ajar pemimpin UMNO dan PAS untuk bezakan cukai yang pelbagai. Pemimpin atasan mereka dan ahli keluarga masih hutang cukai pendapatan berbillion,” dakwanya.
Dalam masa sama, Hannah mempersoalkan rekod pentadbiran terdahulu berhubung penjualan padang awam dan kawasan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur.

Beliau turut menolak dakwaan kerajaan hanya memberikan keistimewaan kepada KLSCAH dengan menjelaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan diskaun sewa 50 peratus kepada 10,000 peniaga selama dua tahun.
Malah, katanya, kadar sewaan tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur ditetapkan pada RM400 bagi satu lot sepanjang Ramadan.
“Di KL, kita jaga semua tak kira kaum atau agama,” katanya.
Mengulas kepentingan pemeliharaan bangunan warisan, Hannah turut membangkitkan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaik taraf Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara yang menurutnya pernah dipertikaikan kerana melibatkan perbelanjaan RM600 juta.
Sumber: FB Hannah Yeoh