am@hmetro.com.my
Baca juga: 181,750 kes tipu dalam talian, rugi RM6.95 bilion
Kuala Lumpur: Kegiatan pertubuhan dikenali sebagai De Norsemen Klub International (DNKI) dipercayai dianggotai komuniti Nigeria di Malaysia mencetuskan persoalan selepas gambar dan video perjumpaan kumpulan itu tular di media sosial.
Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna Threads menerusi akaun kopiobserver yang berkongsi beberapa gambar dan rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki memakai pakaian hitam dan merah dengan lambang DNKI serta bendera Malaysia.
Antara gambar yang dikongsikan turut memaparkan sekumpulan individu dalam satu majlis dengan kain rentang bertulis ‘De Norsemen Club International Malaysia Chapter’.
Pengguna berkenaan mempersoalkan kegiatan dan status pertubuhan itu di Malaysia, selain menandakan akaun Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi mendapatkan penjelasan.
Dalam ruangan komen, timbul dakwaan yang mengaitkan DNKI dengan kumpulan dikenali sebagai Vikings dari Nigeria yang pernah menjadi perhatian pihak berkuasa luar negara berhubung kegiatan jenayah terancang.
Nama De Norsemen Kclub International turut disebut dalam laporan keselamatan pihak berkuasa luar negara berkaitan rangkaian kumpulan dari Nigeria.
Bagaimanapun laporan berkenaan tidak membuktikan bahawa individu yang dipaparkan dalam gambar dan video tular di Malaysia mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah terbabit.
DNKI menerusi laman rasminya pula memperkenalkan organisasi itu sebagai pertubuhan yang menjalankan kegiatan kebajikan, bantuan kemanusiaan dan pembangunan komuniti.
Difahamkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tular berhubung pertubuhan berkenaan.
Setakat ini, status pertubuhan itu di Malaysia serta identiti dan kewarganegaraan individu yang dipaparkan dalam hantaran berkenaan belum mendapat pengesahan rasmi.
© New Straits Times Press (M) Bhd