WASHINGTON: Naib Presiden, Amerika Syarikat (AS), JD Vance berikrar konflik antara AS dan Iran yang bermula susulan serangan Presiden Donald Trump awal tahun ini tidak akan berpanjangan sehingga menjadi perang tanpa penghujung.
Memetik laporan New York Post, dalam temu bual bersama Laura Ingraham daripada Fox News, Vance berkata, Trump tidak akan membiarkan konflik itu berlarutan dan akan menamatkannya sebelum mereka berdua meninggalkan jawatan masing-masing.
Baca juga: Ahmad Maslan Tenang Didesak Letak Jawatan Gara-Gara Serangkap Pantun
“Kami sudah berjanji kepada rakyat Amerika bahawa kami tidak akan terlibat dalam perang yang berpanjangan,” katanya dalam petikan awal temu bual menerusi program The Ingraham Angle yang akan disiarkan malam Isnin.
Beliau berkata, Trump mengambil keputusan untuk memusnahkan program nuklear Iran kerana menganggapnya sebagai ancaman kepada AS.
“Namun, kami tidak akan membiarkan perkara ini menjadi komitmen selama 10 atau 15 tahun, malah secara terus terang, tidak juga sehingga dua tahun, walaupun ramai golongan neokonservatif dan pihak lain mahu kami terus berada di sana selama-lamanya,” katanya.
Trump melancarkan serangan bersama Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi negara itu, termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Serangan itu turut memusnahkan kemudahan nuklear Iran serta sebahagian besar simpanan peluru berpandu balistik dan keupayaan dronnya.
Iran kemudian membalas dengan menyerang pangkalan tentera AS dan negara sekutunya di rantau Teluk, selain mengganggu laluan kapal perdagangan di Selat Hormuz.
Sekatan laut oleh tentera laut AS kemudian membolehkan kapal perdagangan bukan Iran kembali menggunakan laluan strategik itu, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia yang diangkut melalui laut.
Vance sebelum ini menjadi perunding utama bagi Memorandum Persefahaman 14 perkara antara AS dan Iran pada Jun 2026.
Bagaimanapun, rundingan itu gagal pada Julai selepas Iran melancarkan serangan lanjut terhadap kapal, sekali gus melanggar gencatan senjata yang dicapai sebelum itu. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd