Batang Kali : Minat mendalam terhadap sukan pemanduan lasak pacuan empat roda (4×4) dimanfaatkan sepenuhnya ke arah usaha kebajikan apabila Nagoya Automobile Malaysia Holding Sdn Bhd menggerakkan ekspedisi kemanusiaan bagi menyantuni komuniti Orang Asli di Ulu Tamu, di sini, kelmarin.
Baca juga: Pasangan suami isteri didakwa bunuh bapa
Misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disertai kira-kira 60 peserta membabitkan warga kerja syarikat, sukarelawan serta peminat tegar jentera 4×4 itu turut diketuai Pengarahnya, Itsuki Iha.
Turut serta memeriahkan program itu Pengurus Besar, Wong Choi Hun, Pengurus, Mohd Hafidz Abdul Rahim, Rina Aoki dan Azianie Ab Manap.
Kehadiran konvoi jentera 4×4 Trekkerxventure (TXV) itu bukan sahaja mencuri tumpuan penduduk setempat, malah memainkan peranan penting meredah laluan masuk yang mencabar bagi memastikan pelbagai bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bekalan makanan dan barangan harian sampai terus ke tangan penerima.
Selain sesi agihan sumbangan bagi meringankan beban penduduk kampung, program berkenaan turut menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim menerusi aktiviti beramah mesra bersama komuniti pedalaman terbabit.
Usai misi kebajikan berkenaan, konvoi terbabit meneruskan cabaran dengan menguji keupayaan jentera masing-masing menerusi aktiviti pemanduan lasak (real off-road) sejauh 20 kilometer di laluan Kampung Hulu Rening yang bersebelahan Kampung Hulu Tamu.
Peserta merasai sendiri pengalaman pemanduan ekstrem apabila terpaksa meredah laluan denai berlumpur tebal serta mengharungi arus sungai sebelum menyempurnakan ekspedisi berkenaan.
Itsuki berkata, inisiatif sedemikian mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk berkongsi rezeki bersama masyarakat luar bandar di samping menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan kakitangan.
“Kami amat berbesar hati dapat mendekati komuniti Orang Asli Ulu Tamu secara dekat. Bagi kami, program ini melangkaui sekadar penyerahan sumbangan fizikal.
“Ia adalah ruang untuk kami mendengar, memahami keperluan sebenar mereka, dan bersama-sama mencipta impak sosial yang positif serta bermakna,” katanya.
Nagoya Automobile Malaysia Holding Sdn Bhd yang merupakan pengedar sah 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) jenama Perodua di Bukit Beruntung, Rawang berhasrat memperluaskan program gabungan hobi automotif dan khidmat masyarakat seumpama itu ke lebih banyak lokasi pedalaman pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd