LATEST

JKR pantau cerun berisiko sangat tinggi, laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands paling kritikal

JKR pantau cerun berisiko sangat tinggi, laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands paling kritikal

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,643 daripada 34,544 cerun di seluruh negara dikategorikan sebagai berisiko sangat tinggi dan diletakkan dalam pemantauan rapi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) yang diaktifkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelang musim monsun timur laut.Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Pahang dikenal pasti antara kawasan paling kritikal berikutan risiko kejadian tanah runtuh.”Kerja-kerja pembaikan cerun sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan, manakala laluan sementara disediakan bagi membolehkan pengguna jalan raya meneruskan perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.Ahmad berkata, pemantauan cerun berisiko dilaksanakan secara berterusan menggunakan pelbagai instrumen termasuk tolok hujan, sensor kecondongan, stesen jumlah robotik, Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), piezometer dan inklinometer.”Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menggunakan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (SAATR) bagi mengesan sebarang perubahan keadaan cerun yang boleh meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh,” katanya.Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengarahkan semua pihak berkaitan termasuk 28 syarikat konsesi lebuh raya supaya mengambil langkah persediaan awal bagi menghadapi monsun timur laut.”Kita telah mengenal pasti sebanyak 1,195 lokasi hotspot banjir di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri,” katanya.Menurutnya, JKR mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana serta sistem pengurusan bencana sebagai pusat pemantauan dan penyampaian maklumat berkaitan keadaan jalan raya.”LLM pula menggunakan Pusat Pengurusan Trafik (TMC) yang beroperasi 24 jam bagi memantau keadaan lebuh raya, manakala Highway Crisis Control and Command Centre akan diaktifkan sekiranya berlaku bencana berskala besar,” katanya.Beliau berkata, antara langkah yang diambil termasuk mengenal pasti kawasan yang sering dilanda banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang selain memeriksa keadaan cerun, longkang, sistem saliran, jambatan serta jalan raya.”Kita juga sedang menyediakan peralatan kecemasan, papan tanda amaran, penghadang keselamatan, lampu amaran, bahan membaiki jalan dan jentera bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana,” katanya.Ahmad berkata, JKR turut bersiap sedia dengan penggunaan Jambatan Bailey sebagai langkah sementara bagi menggantikan jambatan yang runtuh atau mengalami kerosakan serius akibat bencana.”Kerja pembersihan longkang dan sistem saliran terutama di kawasan yang sering dinaiki air turut diberi perhatian bagi mengurangkan risiko banjir,” ujarnya.Menurutnya, pemantauan turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).”Selepas banjir pula, JKR akan menilai kerosakan infrastruktur dan melaksanakan kerja pembaikan di kawasan terjejas termasuk mendapatkan peruntukan tambahan sekiranya diperlukan,” katanya. 

Latest news