LATEST

Permintaan pusat data rancakkan pelaburan tenaga hijau negara

Permintaan pusat data rancakkan pelaburan tenaga hijau negara

hafizithnin@mediaprima.com.my

Baca juga: Konvoi 4×4 Nagoya Automobile santuni Orang Asli Ulu Tamu

Kuala Lumpur: Peningkatan permintaan terhadap tenaga hijau, khususnya daripada pusat data, dijangka terus merancakkan pelaburan dalam industri tenaga boleh baharu, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peralihan tenaga negara membuka peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, selain menyokong usaha penyahkarbonan industri.

Beliau berkata, usaha itu memerlukan pelaburan berterusan dalam penjanaan tenaga boleh baharu, pembangunan infrastruktur grid yang lebih kukuh serta peningkatan fleksibiliti sistem bekalan elektrik.

“Teknologi penyimpanan tenaga dan penyelesaian digital turut memainkan peranan penting bagi membolehkan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sistem elektrik negara.

“Peralihan tenaga Malaysia membuka peluang untuk memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti dan menyokong usaha penyahkarbonan industri,” katanya.

Demikian menurut teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Setiausaha Bahagian Tenaga Lestari, PETRA, Rosmahyuddin Baharuddin, pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik HLGY Energy Sdn Bhd, hari ini.

Abdul Rahman berkata, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kementerian menyasarkan 70 peratus daripada keseluruhan kapasiti terpasang penjanaan elektrik negara disumbangkan oleh tenaga boleh baharu menjelang 2050.

“Kemajuan ke arah sasaran itu perlu diseimbangkan dengan keperluan memastikan keselamatan bekalan elektrik, kebolehpercayaan sistem serta kemampuan pengguna mendapatkan bekalan tenaga pada harga berpatutan.

“Kerajaan juga terus memudah cara akses sektor korporat kepada bekalan elektrik boleh baharu menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS),” katanya.

Jelasnya, skim itu membolehkan pengguna korporat yang layak di Semenanjung Malaysia mendapatkan bekalan elektrik boleh baharu secara langsung daripada pemaju melalui akses kepada grid elektrik, tertakluk kepada aturan kawal selia dan komersial berkaitan.

“Melalui PETRA dan Suruhanjaya Tenaga, kita akan terus menambah baik pelaksanaan CRESS serta mengadakan libat urus dengan industri bagi menangani cabaran praktikal.

“Sebarang perubahan terhadap CRESS akan diteliti dengan rapi bagi memastikan keadilan kepada semua pengguna elektrik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news