hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerjasama pertahanan negara ASEAN perlu diperkukuh menerusi latihan bersama, perkongsian pengalaman dan kepercayaan profesional bagi memastikan kestabilan serantau terus terpelihara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman siber, teknologi dan bencana alam menuntut
kesiapsiagaan kolektif melalui latihan bersama, perkongsian pengalaman dan kepercayaan profesional, tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
“Kesiapsiagaan mesti dibina sebelum krisis berlaku,” katanya dalam perkongsian di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled bertemu pemimpin Tentera Darat ASEAN pada Majlis Makan Malam sempena ’27th ASEAN Chiefs of Army Multilateral Meeting’ (ACAMM) dan ’14th ASEAN Sergeant Majors Annual Meeting’ (ASMAM) di Melaka, malam tadi.
Beliau turut berpeluang berkongsi pandangan mengenai kepentingan kesatuan, ‘centrality’, serta prinsip berkecuali dan tidak berpihak demi kestabilan ASEAN.
Menurutnya, ACAMM memperkukuh kerjasama strategik kepimpinan Tentera Darat ASEAN, manakala ASMAM memastikan kesiagaan anggota melalui latihan, disiplin dan profesionalisme.
“Kekuatan ketenteraan bukan untuk mencetuskan peperangan, tetapi mencegah konflik.
“Malaysia komited memperkukuh kerjasama pertahanan ASEAN demi keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd