Paris: Tentera Laut Perancis memintas sebuah kapal separa tenggelam yang membawa beberapa tan kokain di Lautan Atlantik pada 12 November lalu, sekali gus mencatat sejarah sebagai operasi pertama seumpamanya oleh pasukan itu, lapor Naval News.
Baca juga: Usaha cungkil bakat baharu mula tuai hasil
Menurut kenyataan Kementerian Angkatan Tentera dan Veteran Perancis pada 15 November lalu, sebuah kapal frigat Tentera Laut Perancis memintas kapal tanpa bendera itu dengan bantuan helikopter yang ditempatkan di atas kapal berkenaan serta sebuah pesawat rondaan maritim Amerika Syarikat (AS) di bawah kawalan operasi Pasukan Petugas Bersama Antara Agensi Selatan (JIATF-S).
Operasi itu dilaksanakan berdasarkan kerangka undang-undang Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Ketika pasukan pemeriksa dari kapal frigat itu menghampiri kapal separa tenggelam berkenaan, tiga daripada empat individu di atasnya terjun ke laut.
Anggota Tentera Laut Perancis kemudian menaiki kapal itu dan menyelamatkan seorang lagi kru yang sudah mengaktifkan mekanisme untuk menenggelamkannya.
Kapal berkenaan karam dalam tempoh kurang tiga minit.
Bot-bot Perancis berjaya menyelamatkan keempat-empat suspek sebelum mengutip serpihan terapung serta empat bungkusan dadah seberat keseluruhan 146 kilogram (kg) yang kemudian disahkan mengandungi kokain.
Baki muatan dadah yang dianggarkan seberat beberapa tan turut tenggelam bersama kapal separa tenggelam itu.
Mengulas kejayaan operasi itu menerusi platform X, Menteri Angkatan Tentera dan Veteran Perancis, Catherine Vautrin memuji profesionalisme serta kecekalan anggota yang terbabit dalam operasi di perairan antarabangsa berkenaan.
Beliau berkata, operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama antarabangsa selain keupayaan angkatan tentera Perancis membanteras kegiatan penyeludupan haram dengan mematuhi sepenuhnya UNCLOS.
Misi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Analisis dan Operasi Maritim – Narkotik (MAOC-N) serta JIATF-S.
Operasi itu dikendalikan di bawah arahan Laksamana yang mengetuai zon maritim Antilles dan Prefek Martinique selaku wakil Kerajaan Perancis bagi tindakan negara di laut.
Selepas operasi berkenaan, keempat-empat suspek ditahan untuk siasatan manakala dadah yang dirampas serta siasatan kehakiman diserahkan kepada cawangan Caribbean Pejabat Antidadah Perancis (OFAST Caraïbes).
© New Straits Times Press (M) Bhd