KUALA LUMPUR – Fasa rintis MediAsas di Lembah Klang mencatatkan sampel yang terlalu kecil dan tidak representatif.Pengerusi Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hanya 1,600 individu yang menyatakan minat berbanding 9.9 juta rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan swasta iaitu kurang daripada 0.1 peratus.Menurutnya, persampelan itu terhad kepada warga kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat insurans yang sememangnya telah mempunyai perlindungan majikan.”Lebih membimbangkan, fasa rintis ini sehingga kini tidak mencatatkan sebarang kes pesakit sebenar yang dimasukkan ke wad atau membuat tuntutan (zero claims recorded).”Keadaan ini menyebabkan rantaian operasi secara menyeluruh belum teruji secara praktikal.”Oleh itu, PAC menegaskan bahawa MediAsas sepatutnya menjadi jaringan perlindungan kepada rakyat kebanyakan termasuk pekerja sektor tidak formal, petani dan nelayan, bukan sekadar disasarkan kepada kelompok pertengahan (M40),” ujarnya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Selasa.Tambah Mas Ermieyati, konsep perubatan ‘mampu milik’ mestilah diteliti secara telus dengan memperincikan kadar deductibles, had caruman, dan bayaran bersama (co-payment) agar platform MediAsas tidak terjebak dengan krisis inflasi kos yang sedang membelenggu polisi komersial sedia ada.Jelasnya, kerajaan digesa untuk menunjukkan iltizam yang tegas dalam mematuhi garis masa pelaksanaan inisiatif tanpa sebarang kompromi, sepertimana kejayaan penyelarasan projek berimpak tinggi rentas agensi yang lain.”PAC Parlimen akan terus memantau pelaksanaan inisiatif di bawah RESET, khususnya program MediAsas dan akan memanggil semula mana-mana Pegawai Pengawal jika berlakunya kegagalan atau kelewatan dalam memenuhi syor-syor yang telah dikemukakan PAC.”Pemantauan berterusan ini adalah bagi memastikan akses kepada kesihatan awam adalah terjamin, lonjakan kos perubatan yang tidak munasabah dapat dibendung dan beban kewangan rakyat dapat dikurangkan,” jelasnya.Beliau turut berpandangan bahawa penetapan had 80 peratus bagi pemegang polisi yang dilindungi daripada pelarasan premium melebihi 10 peratus di bawah langkah interim Bank Negara Malaysia ( BNM) masih belum memadai.”Perlindungan kawal selia sepatutnya merangkumi 100 peratus pengguna agar tiada kelompok pemegang polisi yang tercicir dan dibebani lonjakan caruman secara mendadak.”BNM digesa memperketat pemantauan di peringkat ejen serta kaunter penyedia bagi memastikan hak dan pilihan alternatif dijelaskan secara telus kepada pelanggan,” katanya.
Fasa rintis MediAsas di Lembah Klang catat sampel terlalu kecil – PAC
Malay News | https://www.malay.news/fasa-rintis-mediasas-di-lembah-klang-catat-sampel-terlalu-kecil-pac/