sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Berjaya tawan puncak! Menteri Agama bawa misi penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu
Shah Alam: Selangor menyediakan peruntukan berjumlah RM4,017,000 insentif kemenangan bagi Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026
Exco Belia dan Sukan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, insentif kemenangan ini akan diberikan kepada semua yang berjaya meraih kemenangan pada temasya sukan itu terutamanya atlet, pegawai serrta persatuan sukan yang terbabit.
“Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM3.634 juta diperuntukkan untuk atlet yang berjaya memperoleh pingat emas, perak dan gangsa daripada jumlah itu.
“Kerajaan negeri juga menyediakan insentif sejumlah RM191,250 kepada pengurusan Persatuan Sukan Negeri yang berjaya memperoleh pingat pada temasya berkenaan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Abbas Salimmi Che Adzmi (PH-Seri Serdang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Mohd Najwan menjelaskan, setiap atlet yang memenangi pingat emas, akan menerima di antara RM7,000 hingga RM15,000 bergantung kepada bilangan atlet dalam acara berkenaan.
“Bagi pemenang pingat perak, mereka akan menerima di antara RM1,000 gingga RM2,000 dan pingat gangsa antara RM750 hingga RM1,000.
“Bagi persatuan sukan dan pengurus pasukan pula, insentif ditetapkan sebanyak RM1,000 (pingat emas), RM750 (pingat Perak) dan RM500 (gangsa),” katanya.
Pada 24 Oktober lalu, Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan kutipan keseluruhan pingat sebanyak 245 pingat.
Kejuaraan kali ke-10 ini menjadikan Selangor sebagai negeri terbanyak menjuarai temasya sukan itu sejak mula penganjuran pada tahun 1986, iaitu 40 tahun lalu membabitkan 22 edisi.
Lebih manis kejayaan ini mengatasi pencapaian terbaik ketika kali pertama Selangor menjadi tuan rumah, 28 tahun lalu malah berjaya melepasi sasaran 80 pingat emas.
© New Straits Times Press (M) Bhd