Kuala Pilah : Kejayaan mengungguli senarai pencalonan menerusi 12 kategori pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 membuktikan naskhah seram arahan Shamyl Othman, Khadam, bukan sekadar karya hiburan biasa, sebaliknya sebuah produksi yang sarat dengan ketelitian seni.
Baca juga: Tekong darat rempuh kenderaan PGA ketika cuba larikan diri ditahan
Bagi Shamyl, pengiktirafan besar itu sudah cukup memadai sebagai tanda penghargaan buat seluruh pasukan produksi dan barisan pelakon yang bertungkus-lumus merealisasikan filem berkenaan tanpa perlu meletakkan tekanan atau harapan terlalu tinggi untuk membolot trofi.
“Saya terharu dan berbangga dengan seluruh pasukan serta pelakon yang bertungkus-lumus menghasilkan filem ini. Akhirnya, usaha mereka mendapat pengiktirafan sebegini.
“Saya sendiri tidak tahu hendak berkata apa selain bersyukur. Alhamdulillah, kerana saya rasa banyak filem bagus dihasilkan tahun ini. Kalau menang, Alhamdulillah. Kalau tidak pun, sekadar dicalonkan sudah cukup baik bagi saya,” kata Shamyl ketika ditemui pada Program Pesona Sinema sempena FFM35 anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah, di sini, hari ini.
Sesi perkongsian ilmu yang turut mendapat sokongan Sit Connect Asia selaku rakan strategik itu turut membariskan dua pelakon berkaliber, Nad Zainal dan Idan Aedan sebagai panel jemputan.
Mengulas lanjut mengenai persaingan di malam kemuncak nanti, Shamyl secara peribadi menyandarkan harapan besar agar tulang belakang di sebalik kekuatan naratif dan muzik filem itu dapat membawa pulang kemenangan bermakna.
“Saya mengharapkan Fariza (Fariza Azlina Isahak) dapat memenangi kategori Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. Begitu juga Rendra Zawawi untuk kategori Skor Muzik Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
“Bagi saya, Fariza sebagai penulis lakon layar menghasilkan naskhah yang sangat hebat. Jadi, saya memang berharap dia dapat membawa pulang kemenangan,” ujarnya.
Menyentuh resipi di sebalik kejayaan Khadam menembusi 12 daripada 25 kategori dipertandingkan, Shamyl menyifatkan keserasian serta pemahaman visi yang sama dalam kalangan tenaga kreatif menjadi kunci utama kekuatan karya terbitan Redfilms dan Komet Productions itu.
Menurutnya, setiap elemen teknikal dan kreatif daripada penataan seni, busana, lakonan sehinggalah sinematografi digarap secara harmoni demi mengangkat jalan cerita naskhah berkenaan.
“Setiap aspek seni dalam filem ini dihasilkan untuk menyokong dan mengangkat jalan ceritanya. Saya rasa semua yang terbabit mempunyai pemahaman serta hala tuju sama ketika menghasilkan filem ini.
“Jadi, hasil kerjasama itu dapat dilihat dan mungkin itulah antara kekuatan Khadam,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan menghasilkan sekuel susulan sambutan menggalakkan, Shamyl menjelaskan Khadam pada asalnya direka sebagai sebuah filem berdiri sendiri (stand-alone) dan belum ada perancangan untuk menyambung kisahnya.
“Jika mahu menghasilkan sekuel, ia bergantung kepada sama ada ada cerita yang benar-benar berbaloi untuk diketengahkan. Namun, setakat ini belum ada sebarang perancangan ke arah itu,” katanya.
Menerusi FFM35 yang bakal bersiaran langsung dari Istana Budaya menerusi saluran TV2 pada Sabtu ini, Khadam berdepan saingan sengit dengan sebuah lagi filem seram, Malam Terlarang yang turut mengumpul 12 pencalonan.
Selain kategori utama seperti Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, Khadam turut tersenarai dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Zarra Zhaf, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik serta Poster Terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd