LATEST
National

Persiapan terbaik Speedy Tigers di Ipoh

Persiapan terbaik Speedy Tigers di Ipoh

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara harus menggunakan peluang pada Piala Sultan Azlan Shah dari 20 hingga 28 November ini sebagai persiapan terbaik menuju Kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), selain menutup tirai 2026 dengan kedudukan terbaik di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Baca juga: AS janji konflik dengan Iran tidak berlarutan

Bekas jurulatih hoki remaja negara, I Vikneswaran berkata, kejohanan itu cukup penting buat skuad kendalian Brendon Carolan mengenal pasti beberapa aspek perlu ditambah baik sebelum memulakan misi penting ke LA28 nanti.

Malah, kehadiran dua pemain muda seperti Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Muhammad Adam Asyraf Johari juga menunjukkan perkembangan positif dalam usaha menambah kekuatan pasukan, selain memberikan pendedahan awal kepada mereka.

“Memang penting untuk kita mendapat keputusan yang baik kerana beraksi di laman sendiri dengan sokongan ramai penyokong Malaysia. Tetapi, jika kita lihat dari segi susunan pemain, ada juga penerapan pemain baharu. Brendon memberi peluang kepada wajah baharu dan ini sesuatu yang bagus untuk jangka masa panjang.

“Memang Sukan SEA (2027) penting, tetapi Sukan Olimpik lebih penting. Apa yang penting sekarang adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai peluang pemain senior, Vikneswaran percaya tonggak berpengalaman seperti Marhan Jalil dan Fitri Saari akan memberikan persembahan terbaik dalam usaha membantu negara merealisasikan impian beraksi di pentas Olimpik.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan pertemuan menentang Australia sebagai ujian penting buat skuad negara mengukur tahap kekuatan sebenar pasukan dan bukan sekadar mengejar kemenangan.

Daripada keputusan itu, barisan jurulatih boleh melakukan bedah siasat dan merangka sistem latihan lebih efisien.

Dalam pada itu, Vikneswaran turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang ringan aspek pemulihan fizikal dan mental berikutan jadual pertandingan yang padat sepanjang musim.

Jelasnya, pemain negara sudah melalui beberapa kejohanan besar termasuk Piala Dunia, Sukan Asia dan liga tempatan yang pastinya menuntut tahap kecergasan serta ketahanan mental yang tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news