LATEST

Anggota polis maut, 4 lagi cedera van polis kemalangan

Anggota polis maut, 4 lagi cedera van polis kemalangan

zahratulhayat@nst.com.my

Baca juga: Malaysia komited perkukuh kerjasama pertahanan ASEAN demi keamanan, kestabilan serantau

Tapah: Seorang anggota polis maut, manakala sekurang-kurangnya empat lagi cedera selepas van polis dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 351.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi, hari ini.

“Mayat dan mangsa yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Tapah,” katanya.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 pagi. Maklumat awal menunjukkan seorang anggota maut, manakala sekurang-kurangnya empat anggota polis cedera dalam kejadian itu.

Difahamkan, van itu membawa 10 anggota polis termasuk pemandu dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan beberapa ibu pejabat polis daerah (IPD).

Video kemalangan itu turut tular di media sosial, memaparkan van berkenaan berada di bahu kiri jalan.

Turut kelihatan satu mayat berhampiran pembahagi jalan, manakala empat lagi anggota polis dilihat terbaring dalam keadaan cedera di lokasi kejadian.

Sementara itu, PLUS menerusi hantaran di akaun X memaklumkan kesesakan trafik sepanjang kira-kira tujuh kilometer dilaporkan susulan kemalangan berkenaan di laluan antara Bidor dan Sungkai.

Sehingga 1.21 tengah hari, hanya lorong kecemasan masih ditutup, manakala lorong lain dibuka kepada pengguna jalan raya.

PLUS turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan dan berhati-hati ketika melalui laluan terjejas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news