Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima empat helikopter jenis H225M CSAR dan meriam artileri ringan 105 milimeter (mm), masing-masing untuk memperkukuh aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Tentera Darat Malaysia (TDM).
Baca juga: Jualan pelekat Istana Negara, VVIP terbuka dalam talian cetus kebimbangan
Perolehan itu sebahagian daripada pengukuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Perancis hasil pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Emmanuel Marcron.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia dibuat melalui penyerahan surat hasrat (LOI) oleh kerajaan kepada Airbus Helicopters menerusi kerjasama yang turut melibatkan program naik taraf kapal selam kelas Scorpène milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sistem meriam artileri ringan.
“Kementerian sudah menyerahkan LOI bagi cadangan perolehan empat helikopter CSAR menerusi Fasa 1 untuk TUDM. Cadangan perolehan itu adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang bertujuan memperkukuh keupayaan operasi udara, termasuk operasi khas, bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana.
“Kementerian turut menyerahkan LOI kepada kumpulan pertahanan Perancis-Jerman, KNDS bagi cadangan perolehan sistem meriam artileri ringan 105mm membabitkan 36 komponen meriam untuk dipasang secara tempatan, berserta peralatan sokongan bagi memperkukuh keupayaan artileri Tentera Darat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Difahamkan, helikopter jenis H225M menjadi pilihan TUDM berdasarkan pengalaman dalam mengoperasikan model lama iaitu EC725 sejak beberapa tahun lalu.
Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Angkatan Tentera dan Hal Ehwal Veteran Perancis, Catherine Vautrin di Wisma Perwira ATM.
Dalam pada itu, Khaled berkata, untuk sektor maritim, syarikat Boustead Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) menyerahkan tiga LOI kepada syarikat pertahanan Perancis iaitu Naval Group, Thales dan Safran bagi pelaksanaan program naik taraf kapal selam kelas Scorpène yang dikendalikan TLDM.
“Cadangan kerja bersama Naval Group merangkumi naik taraf sistem pengurusan tempur kapal selam, sistem pengurusan platform bersepadu dan rangkaian Depth Trim, selain kerja penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti kritikal.
“LOI kepada Thales pula meliputi pemodenan sistem Radar Electronic Support Measures (RESM) dan sonar kapal selam bagi meningkatkan keupayaan pengesanan serta peperangan elektronik.
“Sementara itu, cadangan naik taraf bersama Safran membabitkan sistem Search Optronic Mast dan Attack Periscope kapal selam Scorpène, dengan Hexide Engineering Services Sdn Bhd bertindak sebagai rakan perkhidmatan eksklusif tempatan Safran bagi kapal selam serta penerima pemindahan teknologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd