LATEST

Malaysia sasar sifar bersih 2050, perkukuh kerjasama iklim D-8

Malaysia sasar sifar bersih 2050, perkukuh kerjasama iklim D-8

ANTALYA – Malaysia menegaskan komitmen mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 menerusi peralihan tenaga, pembangunan industri rendah karbon dan pengukuhan dasar iklim negara.Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha mencapai sasaran itu turut memerlukan kerjasama antarabangsa yang kukuh serta sokongan pembiayaan iklim, khususnya daripada negara maju kepada negara membangun.Menurutnya, Malaysia turut menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan gas rumah kaca sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035, berbanding tahun pelepasan puncak.”Pencapaian aspirasi iklim Malaysia bukan sahaja memerlukan komitmen domestik yang kukuh, malah persekitaran antarabangsa yang kondusif,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi Peringkat Menteri D-8 mengenai Tindakan Iklim sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31), di sini, pada Selasa.Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata, Malaysia mengalu-alukan cadangan pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar D-8 bagi tempoh 2027 hingga 2030 yang dilihat mampu memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam menangani cabaran perubahan iklim.Katanya, pelan berkenaan menyediakan pendekatan lebih berstruktur untuk memperluas kerjasama dalam bidang keutamaan termasuk adaptasi dan daya tahan iklim, peralihan tenaga bersih, pembiayaan iklim, pemindahan teknologi, pemuliharaan biodiversiti serta pemulihan ekosistem.”Malaysia melihat potensi besar D-8 untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam penyelesaian iklim dan alam sekitar yang saksama, praktikal serta mampan.”Malaysia juga berharap dapat terlibat secara aktif melalui Kumpulan Kerja Teknikal dan Platform Kerjasama bagi mengenal pasti peluang perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal serta inisiatif bersama yang memberikan manfaat praktikal kepada negara anggota,” katanya.Beliau turut mengalu-alukan penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 bagi memudah cara dialog dasar, kerjasama teknikal, pertukaran maklumat serta penglibatan dalam perkara berkepentingan bersama.Menurutnya, platform itu diyakini mampu memperkukuh Kerjasama Selatan-Selatan, selain membuka ruang kepada negara anggota berkongsi pengalaman dan mengenal pasti peluang pelaksanaan inisiatif bersama.Dalam pada itu, Arthur mengalu-alukan penerimaan pakai Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8.Beliau turut menggesa negara maju menunaikan komitmen pembiayaan iklim serta menerajui usaha menggembleng dana bagi membantu negara membangun melaksanakan tindakan berkaitan perubahan iklim.”Kerjasama kita mestilah kekal inklusif, responsif terhadap keadaan negara masing-masing serta menyokong aspirasi pembangunan semua negara anggota D-8,” katanya.D-8 atau Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun merupakan organisasi kerjasama ekonomi yang turut memberi tumpuan kepada bidang teknologi, pertanian, tenaga, alam sekitar dan perubahan iklim.Selain Malaysia, negara anggotanya ialah Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turkiye dan Azerbaijan.

Latest news