Kuala Lumpur : Pernah mencetuskan fenomena luar biasa sehingga menggegarkan industri hiburan tanah air menerusi Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), penyanyi Mawi kembali mengatur langkah dengan semangat baharu, membuktikan namanya masih mempunyai tempat dalam industri muzik.
Baca juga: Pekerja asing maut tertimbus tanah runtuh di Kepong
Selepas lebih dua dekad mencipta gelombang Tsumawi yang fenomenanya sukar ditandingi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 45, kini membuka lembaran baharu menerusi single terbaharu berjudul Pawana Pawaka.
Kemunculan semula itu hadir seiring penyertaannya dalam program Gegar Vaganza (GV) Fantasia yang kembali menghidupkan nostalgia perjalanan seni bermula daripada pentas AF3 pada 2005.
Populariti luar biasa yang diraih ketika itu menjadikan setiap kemunculannya dinanti-nantikan, manakala tagline Mawi World terus menjadi identiti yang cukup sinonim dengan dirinya.
Lagu seperti Aduh Saliha, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Kian antara karya yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi popular pada era berkenaan.
Malah, kolaborasinya bersama Datuk M Nasir menerusi Lagu Jiwa Lagu Cinta menjadi antara kerjasama penting dalam perjalanan seninya.
Mawi turut memperluas jaringan kolaborasi menerusi Sujud bersama KRU, Iqra’ bersama Raihan, Ya Salaam bersama Yasin Sulaiman, Doa Dalam Lagu bersama Heliza dan Penyembuh Rindu bersama Diana Danielle.
Album Idolaku yang diterbitkan pada 2010 juga menjadi antara projek istimewa apabila menghimpunkan 12 lagu duet bersama penyanyi yang menjadi idolanya, termasuk Datuk Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Hattan, Zamani dan Fauziah Ahmad Daud.
Selain lagu komersial, Mawi turut aktif menghasilkan karya berunsur kerohanian seperti Allah Habeebi Al-Jannah, Serulah NamaNya dan Asmaulhusna terbitan Sheikh Qalam, selain Al-Haq Yang Satu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Sheikh Qalam.
Kemampuan Mawi meneroka bidang penciptaan lagu turut terserlah menerusi Al Nuraa Yang 5 Yang 6 yang dihasilkan bersama Sheikh Qalam dan Daly Filsuf.
Dia juga pernah bekerjasama dengan Syamsul Yusof menerusi Kalah Dalam Menang, Bukan Propaganda dan Menangislah, selain menghasilkan karya seperti Marilah Johena, Indah Bersama dan Syair Buat Syuhada.
Mengukuhkan lagi kemunculan semulanya, Mawi turut mengadakan konsert solo The Journey Of Mawi World di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 8 November lalu sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah putus memberikan sokongan.
Konsert berkenaan turut menampilkan artis jemputan seperti Akhil Hayy, Daly Filsuf, Felix Agus, Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Nawawi.
Menariknya, konsert itu berlangsung ketika Mawi turut mempunyai komitmen menyertai GV Fantasia. Bagaimanapun, kedua-dua perancangan berkenaan tetap diteruskan mengikut jadual.
Terbaharu, Mawi menjalin kerjasama dengan tenaga kreatif dari Sabah menerusi Pawana Pawaka, hasil kolaborasi AJ Productions Sdn Bhd dan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd.
Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik nukilan Kamarudin Hasim itu diterbitkan bersama kedua-dua syarikat berkenaan, manakala urusan pengedaran dikendalikan AJ Productions.
Pengarah Urusan AJ Productions, Asmi Datuk Andi Yakin berkata, kerjasama berkenaan cukup bermakna kerana menjadi pengalaman pertama syarikat itu menerbitkan karya untuk Mawi.
“Kolaborasi ini sekali gus membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah menembusi pasaran muzik tanah air.
“Ia menjadi pencapaian penting dalam usaha AJ Productions memperluas penglibatan di pentas muzik nasional, selain membuka ruang pertemuan antara bakat kreatif Sabah dengan nama besar industri hiburan Malaysia,” katanya.
Pawana Pawaka dirakam sepenuhnya dengan penglibatan barisan pemuzik berpengalaman dalam industri muzik tempatan, sekali gus menggabungkan kekuatan tenaga kreatif bagi menghasilkan sebuah karya berkualiti.
Video muzik lagu berkenaan yang dimuat naik menerusi saluran YouTube AJ Productions Sdn Bhd sejak 8 November lalu turut mendapat sambutan apabila meraih kira-kira 70,000 tontonan.
Kehadiran Pawana Pawaka diharap dapat mengubat kerinduan peminat terhadap Mawi, sekali gus membuktikan perjalanan seni Mawi World masih belum sampai ke penghujungnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd