Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, petang Selasa.
Pertemuan lebih sejam
Memetik laporan daripada Sinar Harian, pertemuan tersebut berlangsung susulan pengumuman peletakan jawatan Ismail menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Baca juga: Nahas van polis: Saifuddin arah 10 anggota polis cedera diberi rawatan terbaik
Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu tiba di Istana Hinggap kira-kira jam 5 petang sebelum mengadakan pertemuan dengan Tuanku Muhriz selama lebih sejam.
Foto: Utusan Malaysia
Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kemudian dilihat meninggalkan kawasan istana menerusi pintu utama sekitar jam 6.30 petang.
Walau bagaimanapun, kenderaan dinaiki Ismail dipercayai keluar melalui pintu belakang istana sehingga pergerakannya tidak sempat dirakam petugas media yang berada di lokasi.
Dalam pada itu, Ismail masih belum tampil memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Foto: Kosmo!
Perkembangan tersebut turut mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan bahawa beliau dipaksa berundur daripada jawatan berkenaan.
Namun begitu, dakwaan tersebut masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada Ismail sendiri.
Terdahulu, ketika dihubungi pemberita menerusi aplikasi WhatsApp, Ismail enggan mengulas lanjut mengenai peletakan jawatannya dan meminta agar diberikan sedikit ruang.
“Maaf… tiada PC (sidang media) atau kenyataan media daripada saya. Terima kasih,” katanya ringkas.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)