Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan 10 anggota polis yang cedera dalam kemalangan van di Kilometer (KM) 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Selasa, menerima rawatan terbaik.
Pantau perkembangan kesihatan 10 anggota
Menerusi perkongsian di Facebook, Saifuddin memaklumkan beliau turut mengikuti perkembangan keadaan kesihatan semua anggota terlibat, selain mahu segala urusan berkaitan kebajikan mereka disegerakan.
Baca juga: Ismail Lasim letak jawatan atas kehendak sendiri! Zahid nafi UMNO beri arahan
“Saya turut mengikuti perkembangan keadaan anggota-anggota yang cedera dan mengarahkan pihak PDRM untuk memastikan mereka mendapat rawatan yang terbaik serta menyegerakan segala urusan berkaitan kebajikan mereka,” katanya.
Terdahulu, kemalangan membabitkan sebuah van jenis Maxus yang membawa 11 anggota PDRM Kontinjen Perak termasuk pemandu mengorbankan seorang anggota, manakala 10 lagi mengalami kecederaan dengan empat daripadanya dilaporkan parah.
Kenderaan dinaiki hilang kawalan
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, van berkenaan sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju Melaka.
Walau bagaimanapun, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kiri pecah secara tiba-tiba sebelum merempuh penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Shahrul Alif atas kehilangan insan tersayang.
Menurutnya, pemergian anggota berkenaan bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh warga PDRM.
“Semoga ALLAH SWT merahmati roh Allahyarham, memberikan ketabahan kepada keluarganya dan mengurniakan kesembuhan kepada semua yang cedera,” ujarnya.

Sumber: Facebook Saifuddin Nasution