IPOH – Pantun sinis Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyentuh rakan parti dalam kerajaan disifatkan sebagai tindakan biadab.Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ini kerana Ahmad merupakan sebahagian daripada barisan kepimpinan kerajaan Perpaduan.Menurutnya, pemimpin UMNO itu harus menunjukkan prinsip dan maruah dengan melepaskan jawatan sekiranya tidak lagi sehaluan dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.”Bagi saya, itu satu tindakan yang biadab. Kalau dia ada prinsip, dia ada maruah, dia perlu undur diri sebagai Timbalan Menteri.”Bukan sekadar kepada Datuk Seri Ahmad Maslan, tetapi termasuk mana-mana menteri ataupun mana-mana pihak yang duduk dalam kerajaan hari ini kalau dia tidak boleh lagi terima hakikat realiti Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri dan tidak boleh turut sama dalam agenda dibawa Perdana Menteri maka mereka ini perlu mengundur dengan terhormat,” katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran Bersama Penduduk Medan Klebang Prima sempena projek pembaikan sistem loji rawatan kumbahan dan saluran paip pembetung di Dewan Orang Ramai Medan Klebang Prima di sini pada Selasa.Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata, mana-mana pemimpin yang tidak lagi menghormati persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya terus memegang jawatan dalam pentadbiran.Katanya, tindakan sedemikian hanya memperlihatkan sikap tidak konsisten dalam kalangan pemimpin yang sepatutnya bersama-sama menjayakan agenda kerajaan.”Kalau ada individu tertentu, tidak kisahlah daripada UMNO atau mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak suka, tinggalkanlah. Keluarlah, tidak perlu pegang apa-apa jawatan.”Mereka sendiri pada peringkat awal tidak lagi menghormati perjanjian persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan itu. Jadi, tidak ada gunanya menunjukkan sikap talam dua muka,” katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan mengenai kedudukan anggota Kabinet termasuk pelantikan atau penamatan jawatan adalah prerogatif Perdana Menteri.Bagaimanapun, beliau berpandangan pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan Perdana Menteri wajar mempertimbangkan untuk berundur daripada kerajaan.Pada 16 November media melaporkan Persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Ahmad menyelitkan pantun berunsur sindiran ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung isu penghapusan tol.Ahmad ketika menjawab perkara itu berkata, terdapat beberapa janji politik yang masih belum ditunaikan termasuk berkaitan perkara itu.Sementara itu, mengulas gesaan supaya pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Perak dan Pahang, Muhammad Kamil berkata, pihak yang merasakan mempunyai kekuatan politik boleh meneruskan hasrat berkenaan.Namun, katanya, rakyat mampu menilai antara pemimpin yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat dengan mereka yang lebih sibuk membuat percaturan politik.Beliau turut mendakwa usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar sudah berlaku sejak tahun pertama pentadbiran Perdana Menteri itu, namun gerakan berkenaan gagal mencapai matlamatnya.Katanya, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani isu rakyat berbanding terjebak dalam percaturan politik.
Pantun Ahmad Maslan biadab, patut letak jawatan – AMK
Malay News | https://www.malay.news/pantun-ahmad-maslan-biadab-patut-letak-jawatan-amk/