KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Thailand ditahan kerana menyeludup seorang wanita dari Malaysia ke negara jiran itu dengan menyembunyikannya di bawah timbunan bagasi dalam kenderaannya, semalam.
Baca juga: Pearly-Thinaah mula langkah kanan di Hong Kong
Jurucakap keselamatan Thailand berkata wanita warga Thailand itu dikehendaki pihak berkuasa negara berkenaan berhubung kes penipuan.
Terdahulu, Toyota Fortuner dipandu lelaki berusia 39 tahun itu ditahan anggota Jabatan Imigresen di lorong pemeriksaan di Kompleks Imigresen Sadao bersebelahan Bukit kayu Hitam di Kedah kira-kira jam 4.50 petang.
“Ketika pemeriksaan, lelaki itu gagal mengemukakan pasportnya menyebabkan anggota bertugas melakukan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, mereka menemui seorang wanita disembunyikan di bawah timbunan bagasi tanpa sebarang dokumen perjalanan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, semakan lanjut mendapati wanita berkenaan dikehendaki mengikut waran tangkap Mahkamah Wilayah Nonthaburi bertarikh 22 Januari 2025, berhubung dakwaan bersubahat melakukan penipuan terhadap orang awam serta kesalahan membabitkan kemasukan maklumat palsu ke dalam sistem komputer, akaun deposit dan kad elektronik.
“Lelaki itu mengaku mengambil wanita berkenaan di Malaysia sebelum menyeludupnya ke Thailand.
“Rekod menunjukkan lelaki itu pernah ditahan dua kali sebelum ini atas kesalahan sama. Dia sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan membabitkan pelanggaran Akta Imigresen serta membantu individu yang melakukan kesalahan atau disyaki melakukan kesalahan untuk melarikan diri daripada ditahan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, polis turut merampas Toyota Fortuner sebagai bahan bukti sebelum menyerahkan suspek kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Sadao untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd