LATEST

Ziana Zain puji Aina Abdul buktikan Malaysia ada penyanyi hebat

Ziana Zain puji Aina Abdul buktikan Malaysia ada penyanyi hebat

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Baca juga: “Kami Terlalu Emosi” – Syifa Melvin Mohon Maaf Buat ‘Live’ Aibkan Bekas Abang Ipar

Kuala Lumpur : Datuk Ziana Zain menyifatkan penyanyi, Aina Abdul sebenarnya sudah meraih kemenangan apabila lagu nyanyiannya berjaya menembusi jiwa pendengar segenap lapisan masyarakat, termasuk golongan kanak-kanak.

Ziana, 58, atau mesra disapa Kak Gee berkata, kejayaan sesebuah karya bukan sekadar diukur menerusi kedudukan atau trofi dalam pertandingan, sebaliknya sejauh mana lagu itu diterima dan melekat di hati peminat.

Mengulas mengenai penyertaan Aina di pentas Eurovision Asia 2026 baru-baru ini, Ziana menasihati peminat dan rakyat Malaysia agar tidak melatah atau berfikiran negatif dengan keputusan yang sudah diumumkan.

“Bagi saya, tak kisah menang atau kalah. Yang penting kita sudah tunjukkan Malaysia ini ada penyanyi yang bagus. Lagu-lagu Aina, budak kecil pun menyanyikannya, malah sudah melekat dalam halwa telinga kita. Jadi, itu dikira dia sudah menang.

“Untuk saya, Aina sudah melakukan yang terbaik dan kita tahu vokalnya sangat kuat. Kita sebagai rakyat Malaysia jangan marah-marah. Hati itu memanglah terkilan, saya faham.

“Tetapi ini adalah satu pembuka jalan untuk memberitahu dunia bahawa Malaysia juga boleh melakukannya dan kita ada penyanyi yang hebat. Walaupun apa juga ulasan yang diberi, Malaysia sudah membuktikan kemampuan kita,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Putus Terpaksa ini turut berkongsi pandangannya mengenai cabaran lagu berentak balada yang menjadi kekuatan penyanyi tempatan apabila dibawa bertanding ke pentas antarabangsa.

Mengimbas pengalamannya sewaktu menyertai pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan suatu ketika dahulu, Ziana berkata, setiap pertandingan di luar negara mempunyai kehendak dan cita rasa berbeza mengikut peredaran zaman.

“Perkara paling penting apabila membawa diri bertanding di luar negara adalah seperti kata Datuk M Nasir, kita perlu tahu apa yang mereka mahukan sebelum kita sertai.

“Macam zaman saya dulu pada era 90-an, apa-apa genre muzik atau lagu balada sekalipun diterima ramai. Tetapi apabila era sudah berubah, cara dan kehendak mereka juga sudah berbeza.

“Sekarang apabila kita tengok pertandingan seperti Eurovision, banyak tertumpu kepada peserta yang boleh menyanyi dan menari. Kita di Malaysia memang kuat dengan lagu balada, tetapi apabila ke sana keadaannya sudah jadi lain pula. Apa pun, pihak penganjur sahaja yang tahu apa yang mereka mahu dan kita kena akur,” katanya.

Terdahulu, Ziana turut berkongsi pesanan arwah bapanya, Zain Abdullah yang sentiasa menjadi pegangan sepanjang bergelar anak seni bahawa penghayatan dalam persembahan jauh lebih bernilai berbanding kedudukan juara.

“Arwah abah selalu berpesan, kedudukan itu tak penting. Kalau dapat, itu rezeki. Yang penting adalah persembahan dan penghayatan kerana perkara itulah yang orang akan rasa dalam jiwa mereka dan sentiasa menyanyikannya,” kata Ziana ketika ditemui pada sidang media Konsert A Night of Soul, di sini, hari ini.

Selain Ziana, konsert yang akan berlangsung di Mines International Exhibition Center pada 12 Disember depan itu, turut dibarisi artis popular seperti Datuk Amy Search, Siti Nordiana, Cakra Khan, Khai Bahar dan penyanyi baharu, Nabiha Aimi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news