LATEST

Sapura, UiTM perkasa bakat pertahanan siber negara

Sapura, UiTM perkasa bakat pertahanan siber negara

Shah Alam: Usaha melahirkan generasi baharu pakar pertahanan siber tempatan terus diperkasakan menerusi kerjasama strategik antara Sapura, Velum Labs Sdn Bhd dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), bagi mendepani ancaman serangan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompleks.

Baca juga: Syarikat OGSE Malaysia jana jualan eksport RM114.82 juta

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi penganjuran iHACK 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam, dengan UiTM bertindak sebagai penaja utama manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) turut memberikan sokongan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura merangkap Pengasas Velum Labs, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang pertahanan siber perlu diberi perhatian memandangkan keselamatan digital kini berkait rapat dengan keselamatan negara, daya tahan ekonomi dan kedaulatan teknologi.

Menurutnya, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan teknologi, malah memahami taktik serangan siber serta berupaya bertindak balas dengan pantas dan tepat.

“Di Sapura, lebih 90 peratus pakar siber kami adalah graduan universiti tempatan. Malaysia perlu melahirkan pakar pertahanan siber yang memahami taktik penyerang beroperasi dan berupaya bertindak balas dengan pantas, pertimbangan yang tepat dan penuh keyakinan.

“Melalui iHACK 2026, kami akan terus mengenal pasti dan membangunkan bakat tempatan yang mampu melindungi masa depan digital negara. Keupayaan siber berdaulat mesti dibina berasaskan kepakaran anak tempatan, bukan teknologi semata-mata,” katanya.

Penganjuran iHACK 2026 yang dianjurkan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM itu turut memperlihatkan sambutan menggalakkan apabila pusingan awal berjaya menarik penyertaan 396 pelajar daripada 103 pasukan membabitkan 32 kampus universiti awam dan swasta di seluruh negara.

Peserta dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berpeluang menguji kemahiran menerusi pertandingan Capture-the-Flag (CTF) serta pembentangan idea dengan bimbingan pakar industri.

Malah, pakar daripada Sapura dan Velum Labs turut terbabit dalam penilaian projek tahun akhir pelajar bagi mengenal pasti bakat berpotensi tinggi serta hasil penyelidikan yang boleh dikembangkan menjadi penyelesaian praktikal untuk kegunaan industri.

Dalam perkembangan berkaitan, Velum Labs dan FSKM UiTM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada hari pembukaan program bagi memperkukuh hubungan antara institusi akademik dengan industri.

MoU itu merangkumi pelaksanaan latihan industri berstruktur, pembangunan bakat bersama, perkongsian ilmu dan kepakaran, penyelidikan serta daya cipta dan penglibatan industri, selaras dengan aspirasi Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025–2030.

Pertukaran MoU disempurnakan Shahril bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Haji Mohd Sazili Shahibi, dengan disaksikan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) NACSA, Noursilawati Abdul Halim.

Kerjasama berkenaan dijangka menjadi landasan kepada pelaksanaan program pembangunan bakat dan pembelajaran praktikal secara berterusan, sekali gus memastikan usaha melahirkan tenaga pakar pertahanan siber tempatan tidak terhenti selepas penganjuran iHACK 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news