LATEST
Social Media

Zaman salin nota papan hitam dah tamat, hentikan obsesi paksa anak hafal buku tebal

Zaman salin nota papan hitam dah tamat, hentikan obsesi paksa anak hafal buku tebal

Bila tengok beg sekolah anak makin ringan atau buku teks di tangan mereka semakin nipis, ada segelintir mak ayah yang mula gelisah tidak tentu arah.

Mula timbul rasa syak kononnya anak tidak belajar apa-apa, atau sistem pembelajaran sekarang makin malas sebab tidak lagi memaksa budak-budak menghafal buku rujukan setebal kamus.

Baca juga: Dari teknologi asing kepada kepakaran sendiri! Malaysia, Perancis pacu industri pertahanan negara

Bagi sebahagian daripada kita, bukti anak belajar cuma satu, iaitu balik rumah dengan beg sarat mengalahkan beg orang nak pergi berkhemah, tangan penuh dengan buku latihan, dan malam dihabiskan dengan menyalin nota sampai kebas jari.

Hakikatnya, cara berfikir macam ini sudah terlalu lapuk dan jauh ketinggalan zaman.

Dunia luar hari ini langsung tidak hairan dengan orang yang hafal isi buku dari kulit ke kulit. Sekarang zaman teknologi di mana semua maklumat hanya perlu ditekan di hujung jari. Kalau setakat mahu tahu fakta sains atau tarikh sejarah, taip dua patah perkataan di skrin, semuanya keluar dalam beberapa saat. Jadi untuk apa kita masih memaksa anak kecil menjadi mesin penghafal kertas?

Buku Tebal Bukan Jaminan Anak Bijak Selesaikan Masalah

Ramai mak ayah masih terperangkap dengan rasa bangga melihat meja belajar anak dipenuhi buku latihan tebal bertingkat-tingkat. Kita rasa bila anak pandai jawab soalan objektif atas kertas, anak kita sudah terpaling bijak.

Namun apa yang kerap berlaku bila anak keluar ke alam sebenar?

Ramai anak yang mahir salin nota dan dapat markah penuh bila menghafal, tetapi langsung kaku bila diminta mencari idea baharu. Bila berdepan situasi yang memerlukan mereka berfikir sendiri cara menyelesaikan masalah harian, mereka buntu sebab jawapannya tiada dalam muka surat buku latihan.

Buku yang lebih ringkas bukan bermakna anak malas belajar. Tumpuannya sekarang adalah mengajar anak menggunakan akal fikiran untuk menyiasat, mencari maklumat sendiri, dan menggunakan kemudahan internet secara cerdik.

Foto: Janaan AI

Kita mahu melatih anak yang reti guna maklumat untuk selesaikan isu sebenar, bukan sekadar pandai menyalin balik apa yang orang lain tulis.

Jangan Panik Bila Anak Mula Belajar Cara Moden

Bila anak mula diberi ruang membentangkan idea, membuat kerja amali, dan mencari penyelesaian sendiri tanpa perlu bergantung pada buku kerja yang menggunung, mak ayah jangan cepat melatah.

Ada yang mula bising kata anak cuma banyak berborak, tidak macam zaman mak ayah dulu yang senyap membongkok menyalin nota dari papan hitam sampai loceng balik bunyi. Zaman itu sudah lama berlalu dan cabaran hidup sekarang tidak sama macam berpuluh tahun dahulu.

Dunia pekerjaan yang menanti mereka nanti perlukan orang yang pandai berfikir secara bijak, tahu mencari jalan keluar bila ada masalah, dan faham cara menggunakan teknologi untuk menghasilkan sesuatu yang berguna. Orang yang cuma tahu buat kerja bila ada skrip hafalan akan ditinggalkan di belakang.

Ubah Cara Pandang Demi Masa Depan Anak

Sudah tiba masanya mak ayah buang rasa taksub kepada timbunan buku tebal dan helaian kertas kerja yang menimbun.

Jangan lagi nilai kepandaian anak daripada beratnya beg yang mereka pikul setiap pagi. Anak yang hebat bukan anak yang paling banyak menghafal teks, tetapi anak yang tahu bagaimana mahu menggunakan akal dan kemudahan teknologi untuk terus hidup berdikari.

Bila anak pulang tanpa timbunan kerja rumah yang menekan jiwa, jangan terus marah. Luangkan masa berbual dengan mereka, tanya idea menarik apa yang mereka dapat hari ini, dan dorong mereka untuk terus meneroka dunia luar dengan yakin.

More in Social Media

View all

Latest news