Barcelona: Pemilik FC Andorra, Gerard Pique menyifatkan hukuman penggantungan 12 perlawanan terhadap penjaga gol pasukannya, Jesus Owono sebagai tidak wajar susulan insiden pertembungan yang membawa kepada kematian penyerang Tenerife, Jesus de Miguel.
Baca juga: 25 wanita asing terbabit pelacuran ditahan
Owono dan De Miguel bertembung ketika aksi liga divisyen dua Sepanyol pada 2 November lalu sebelum penyerang itu dikejarkan ke unit rawatan rapi, namun meninggal dunia keesokan harinya.
Jawatankuasa disiplin Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) kemudian menjatuhkan hukuman penggantungan 12 perlawanan terhadap Owono atas kesalahan melakukan kekasaran yang mengakibatkan kecederaan serius.
Pique berkata, tindakan itu dianggap kemalangan oleh pemain, bekas pemain, jurulatih dan penjaga gol yang menghubunginya selepas kejadian berkenaan.
“Saya benar-benar percaya mengenakan hukuman maksimum terhadap Jesus atas tindakan itu meletakkannya dalam situasi yang tidak sepatutnya diterima kerana dia bukan punca kepada semua yang berlaku ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial pada lewat Isnin.
Bekas pemain Barcelona itu turut membandingkan hukuman terhadap Owono dengan penggantungan tiga perlawanan dikenakan ke atas pemain Albacete, Jose Corpas selepas secara tidak sengaja menendang kepala pemain Sabadell, Quadri Liameed dalam satu perlawanan baru-baru ini.
“Syukurlah Quadri berada dalam keadaan baik dan kesannya dalam kes itu tidak membawa maut, namun jawatankuasa memutuskan untuk menggantung Corpas selama tiga perlawanan.
“Dengan semua ini, persoalan saya ialah apa yang sebenarnya dihukum, tindakan atau kesannya?” katanya.
Pique turut menegaskan Owono memerlukan tempoh jauh lebih lama daripada 12 perlawanan sebelum bersedia untuk kembali beraksi.
“Tiada hukuman yang mampu mengembalikan Demi (De Miguel) kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Andorra, Jaume Nogues mengesahkan kelab itu tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan RFEF, walaupun menyifatkan penyelesaian kes berkenaan tidak dikendalikan dengan baik.
Nogues berkata, tindakan merayu mungkin menerima kecaman masyarakat, selain Owono sendiri tidak menyokong usaha untuk mencabar keputusan itu.
Bagaimanapun, pengendali Tenerife, Alvaro Cervera tidak bersetuju dengan pandangan Pique dan berpendapat insiden berkenaan boleh dielakkan.
“Dia perlu mempertahankan pemain dan kelabnya, dan jelas itulah yang dipercayainya sedang dilakukan.
“Saya berpendapat tindakan (cabaran Owono) itu boleh dielakkan. Saya tidak percaya insiden seperti ini berlaku setiap hari, walaupun dia seolah-olah menggambarkan sebaliknya,” katanya.
Owono, 25, turut menarik diri daripada skuad Equatorial Guinea bagi aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Zimbabwe bulan ini.
Pique berkata, penjaga gol itu juga berkemungkinan tidak akan kembali beraksi sebaik sahaja tempoh penggantungannya tamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd