LATEST

Trump hargai kerjasama Anwar, usaha Malaysia selesaikan konflik Kemboja-Thailand

Trump hargai kerjasama Anwar, usaha Malaysia selesaikan konflik Kemboja-Thailand

Manila: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghargai komitmen dan kerjasama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, tahun lalu.

Baca juga: Dua gol Richard Chin bawa tuah, Ross County tawar diskaun 20 peratus

Beliau berkata kerjasama dengan Anwar pada Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu berjaya menghasilkan perjanjian bersejarah yang membawa kepada gencatan senjata antara kedua-dua negara.

Tegasnya, Washington komited mempertahankan gencatan senjata serta memastikan pelaksanaan penuh perjanjian berkenaan.

“Kami kekal komited untuk mempertahankan gencatan senjata itu dan memastikan pelaksanaan penuh serta berkesan perjanjian berkenaan seperti yang dipersetujui setahun lalu,” katanya pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS), yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini Manila, hari ini.

Trump turut memaklumkan, Malaysia adalah antara negara yang memeterai perjanjian perdagangan dengan Washington, sejak beliau memegang jawatan itu.

Sementara itu, Trump berkata Washington telah memeterai pelbagai perjanjian penting di rantau ini merangkumi sektor tenaga, mineral kritikal dan teknologi.

“Sejak saya kembali memegang jawatan, kami telah memeterai perjanjian perdagangan utama dengan Malaysia, Kemboja dan Indonesia, selain Jepun, Korea Selatan serta hampir semua negara yang berada di meja ini,” katanya.

Ia susulan kedudukan strategik Asia Tenggara dalam perdagangan antarabangsa, dengan kira-kira satu perempat daripada pergerakan perkapalan dunia melalui Selat Melaka.

Justeru, AS komited memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara rakan di rantau ini, selain berharap kerjasama dalam bidang mineral kritikal, unsur nadir bumi dan magnet dapat dipertingkatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news