LATEST

Bioinovasi tempatan tawar potensi pasaran RM8 juta

Bioinovasi tempatan tawar potensi pasaran RM8 juta

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 inovasi berasaskan bio yang diketengahkan menerusi program BioInnovation Launchpad 2026 mempunyai anggaran potensi pasaran keseluruhan bernilai RM8 juta, sekali gus membuka peluang kepada pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan.

Baca juga: Anugerah SEBA ASEAN iktiraf Mohamad Norza, 38 individu, organisasi dan jenama

Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menerusi kenyataan berkata, potensi itu dikenal pasti menerusi pembentangan 10 peserta akhir yang terdiri daripada penyelidik universiti, syarikat pemula niaga (startup) dan syarikat terbitan (spin-off) pada Demo Day BioInnovation Launchpad 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, tiga inovator dinobatkan sebagai pemenang utama selepas membentangkan inovasi serta cadangan perniagaan masing-masing kepada pelabur, penyedia dana dan firma modal teroka.

Johan dimenangi Pretech Global Sdn Bhd dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi PREPECTO, teknologi pemulihan tanah berasaskan biologi yang telah dipatenkan.

Teknologi berkenaan membantu memulihkan tanah terdegradasi dengan meningkatkan kesihatan tanah serta mengaktifkan mikroorganisma bermanfaat.

Naib johan pula diraih EDSTEM Sdn Bhd dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi EDSTEM Educational Kits, kit pembelajaran STEM kendiri yang menjadikan bidang biologi molekul lebih mudah diakses, praktikal dan mampu milik.

Tempat ketiga menjadi milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) menerusi inovasi filamen pencetakan tiga dimensi (3D) biokomposit bernilai tinggi yang dihasilkan daripada sisa kulit durian.

Inovasi itu menawarkan bahan cetakan lebih mampan sebagai alternatif kepada plastik berasaskan petroleum, selain berpotensi digunakan dalam penghasilan cenderamata korporat dan reka bentuk seni bina.

Ketiga-tiga pemenang menerima pembiayaan permulaan berjumlah RM10,000 bagi menyokong usaha pembangunan dan pengkomersialan inovasi masing-masing.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Bahagian Usaha Sama Strategik Bioeconomy Corporation, Fadzrin Azwar Abdul Aziz berkata, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan aspek praktikal, kebolehskalaan dan potensi komersial inovasi yang diketengahkan.

Beliau berkata, perkembangan peserta kumpulan pertama BioInnovation Launchpad pada 2025 turut menunjukkan kemajuan apabila tujuh daripada 10 syarikat pemula kini dalam proses menyertai ekosistem Bio-based Accelerator (BBA) di bawah Bioeconomy Corporation.

Menerusi program berkenaan, syarikat terbabit akan terus menerima bimbingan serta kemudahan sokongan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, beberapa syarikat daripada kumpulan pertama itu turut menerima pengiktirafan anugerah industri, memperoleh peluang pembiayaan, mengetengahkan inovasi di platform kebangsaan dan meneroka potensi kerjasama dengan pemain industri.

Sementara itu, johan pertandingan, Profesor Madya Ts Dr Noormazlinah Ahmad yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Pretech Global Sdn Bhd berkata, kemenangan itu menjadi pengiktirafan terhadap usaha pasukannya dalam membangunkan inovasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pretech Global, Harlinda Hamid berkata, pihaknya berharap dapat membawa inovasi itu ke peringkat seterusnya, khususnya dari aspek pembangunan produk dan pengkomersialan.

BioInnovation Launchpad yang dilancarkan pada 2025 adalah program pemacu keusahawanan selama empat bulan anjuran Bioeconomy Corporation dengan kerjasama Growth Charger, bertujuan membantu penyelidik dan inovator peringkat awal membangunkan hasil penyelidikan menjadi perniagaan berdaya maju.

Peserta turut berpeluang melayakkan diri menyertai program BBA atau memperoleh BioNexus Status, dua inisiatif Bioeconomy Corporation yang menyediakan sokongan lanjut untuk membantu syarikat mengembangkan operasi.

Program berkenaan juga menyokong sasaran negara untuk meningkatkan sumbangan sektor bioteknologi kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news