LATEST

Dewan Rakyat: Pantun Shahidan cetus perang mulut dengan Sany

Dewan Rakyat: Pantun Shahidan cetus perang mulut dengan Sany

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Baca juga: Banjir: Kampung Jalan Kebun diisytihar Bencana Tahap 1, PPS dibuka

Kuala Lumpur: Perang mulut antara ahli parlimen pembangkang dan kerajaan berlarutan sehingga sesi terakhir perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pertikaian tercetus apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang menjadi pembahas ke-28 serta terakhir memaklumkan enggan berbahas, sebaliknya hanya mahu menyampaikan pantun ‘nasihat’.

“Saya tidak mahu berbahas panjang, sebab ramai kawan-kawan sudah sebut. Saya cuma nak berpantun sahaja.

“(Ahli Parlimen) Hulu Langat jangan terburu-buru untuk membuat komen, sebab nanti jadi harimau luka. Harimau luka itu sebab kalah di Melaka.

“Maka pantunnya berbunyi begini, ‘Kalau tuan pergi memancing, jangan lupa bawa sampan. Walau kita hidup berasing, jangan lupa adab dan sopan.’

“Kita mesti menjaga adab dan sopan. Berwaspada rakyat Malaysia, kita kena jaga adab dan sopan. Kita tak mahu negara ini seolah-olah tidak ada kapten. Kita nak negara ini ada hala tuju,” katanya.

Bagaimanapun, pantun berkenaan mengundang reaksi Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mencelah dengan mengingatkan bahawa negara berdepan kehancuran sekiranya pemimpin yang didakwa mencuri, merompak dan melakukan penyelewengan terus disokong.

“Iya la, adab dan juga sopan memang kita perlu. Tapi negara kita ini menuju kehancuran kalau kita biarkan dan kita menyokong orang yang curi, orang yang rompak, orang yang sakau,” katanya.

Shahidan membalas dengan mempersoalkan pihak yang didakwa melakukan penyelewengan, sambil menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya dikaitkan dengan satu pihak sahaja.

“Sekarang, inilah di antara kenyataan kenyataan yang boleh mengharu-birukan.

“Kalau kita mahu mengungkit, ungkit 30 hari pun tak habis kita nak ungkit. Cuma kita hanya bagi perhatian kepada kenyataan Perdana Menteri untuk tangkap siapa yang sakau.

“Sebagai Ahli Parlimen di sini, saya duduk lama di sini. Semasa PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) duduk di situ (tempat pembangkang), semasa saya duduk di sini (tempat kerajaan), saya mengalami pelbagai kehidupan yang cukup luar biasa.

“Jangan sebut sakau hanya sebelah pihak. Banyak pihak terbabit dengan sakau,” katanya.

Mohd Sany kemudian menjawab dengan menyarankan melaporkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sekiranya mempunyai bukit penyelewengan di pihak kerajaan.

“Kalau ada bukti Arau, mari kita sama sama buat laporan polis dan SPRM. Saya sedia bersama Arau untuk buat laporan.

“Janganlah kamu cenderung dengan pemimpin yang zalim, kerana kamu akan disambar oleh api neraka,” katanya.

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) kemudian bangun mencelah dan mengatakan laporan polis pernah dibuat sebelum ini namun tiada sebarang tindakan diambil.

Dalam keadaan saling berbalas kata itu, Shahidan dilihat cuba menamatkan pertikaman lidah dengan menyebut tidak mahu kehilangan pahala dan memohon maaf sebelum mengucapkan terima kasih.

“Bagi AMANAH, pecah amanah, bila bertengkar dia (Mohd Sany) nak berlebih-lebih. Saya tak mahu. Saya tak mahu hilang pahala saya. Saya minta maaf. Terima kasih,” katanya.

Namun, kenyataan itu sekali lagi mengundang reaksi tidak puas hati Mohd Sany dengan mengatakan mereka juga menunaikan solat.

“Kita pun sembahyang jugalah Arau! Jangan Arau ingat Arau seorang sahaja sembahyang! Kita pun sembahyang juga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news