LATEST

Ernie Zakri terharu berduet lagu La Vie En Rose dengan Presiden Perancis

Ernie Zakri terharu berduet lagu La Vie En Rose dengan Presiden Perancis

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Baca juga: Dewan Rakyat: Pantun Shahidan cetus perang mulut dengan Sany

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ernie Zakri melakar detik manis yang sukar dilupakan dalam karier seninya apabila berpeluang berduet mendendangkan lagu klasik Perancis, La Vie En Rose bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini.

Persembahan istimewa penuh memukau itu berlangsung dalam satu majlis jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempena lawatan rasmi dua hari pemimpin negara berkenaan ke Malaysia.

Ernie, 34, menyifatkan peluang membuat persembahan di hadapan serta bergandingan secara langsung dengan pemimpin tertinggi Perancis itu sebagai satu penghormatan luar biasa dalam hidupnya.

“Diberi penghormatan untuk membuat persembahan di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron adalah detik yang amat bermakna dalam perjalanan seni saya.

“Peluang menyanyikan La Vie En Rose bersama beliau menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan akan kekal sebagai kenangan yang saya hargai sepanjang hayat,” katanya.

Menurut pelantun lagu Masing-Masing itu lagi, dia amat bersyukur apabila diberi kepercayaan membawa nama serta seni muzik tempatan ke pentas diplomatik berprestij terbabit.

Lawatan berkenaan menjadi kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Kunjungan bersejarah itu turut dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Perancis apabila kedua-dua negara berhasrat memperkukuhkan kerjasama sedia ada ke tahap perkongsian strategik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news