am@hmetro.com.my
Baca juga: Filipina serah jawatan Pengerusi ASEAN kepada Singapura
Kota Bharu: Kenderaan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan yang membawa enam orang termasuk dua Orang Kena Tuduh (OKT) warga Bangladesh terbabas ke dalam parit di Kampung Padang Mokkan, Peringat di sini, hari ini.
Kemalangan dipercayai berlaku pada 11.35 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan serius dan tiada OKT yang terlepas.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, mereka yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.
Beliau turut menafikan dakwaan terdapat OKT terlepas susulan insiden itu.
“Kedua-dua OKT kini berada di lokap Ibu Pejabat Maritim Kelantan dan selesai mendapatkan rawatan pesakit luar di HPUSM, tengah hari tadi,” katanya.
Saksi kejadian, Nor Azira Zainal Abidin, 31 yang juga pekerja kedai runcit berkata, sebelum kejadian dia mendengar bunyi siren dipercayai daripada kenderaan berkenaan dan tiba-tiba terdapat kereta cuba membelok memasuki kawasan kedai.
“Lori berkenaan mengelak dan akibatnya ia terbabas ke dalam parit. Saya sempat bantu mangsa dan bawa mereka keluar dari kenderaan.
“Dua OKT itu pula dikeluarkan oleh anggota,” katanya.
Difahamkan kejadian turut menyebabkan tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tumbang dan mengakibatkan gangguan bekalan di kawasan sekitar.
TNB bagaimanapun sedang membaiki kerosakan itu dan memulihkan bekalan elektrik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten komisioner Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan Maritim Malaysia sudah membuat laporan polis, petang tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd