LATEST

Selesa berlakon dengan semua hero sebelum ini

Selesa berlakon dengan semua hero sebelum ini

am@hmetro.com.my

Baca juga: Ahmad Yakob dilantik Mursyidul Am PAS

SELEPAS membina nama yang kukuh di negara ini, pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura, Hannah Delisha memasang impian untuk mengembangkan sayap ke Indonesia sekali gus membuka lembaran baharu dalam karier seninya.

Hannah atau nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch, 30, berkata dia juga akan mempertimbangkan tawaran ke negara seberang itu andai diberi watak yang menarik dan bersesuaian dengan dirinya.

“Kalau diberikan peluang untuk berlakon di sana (Indonesia) kenapa saya harus menolaknya? Satu perkara mengenai diri saya ialah suka mencabar diri dan mencuba perkara baharu.

“Jika tawaran berlakon itu datang pada masa yang tepat dan watak ditawarkan menarik dan sesuai, pasti saya akan pertimbangkannya,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui sempena Fashionably Modest Asia 2026, baru-baru ini.

Mengulas sokongan peminat di Indonesia, kata pelakon drama bersiri The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) itu, dia tidak menyangka jumlah pengikut dari negara jiran itu menunjukkan peningkatan ketara selepas drama lakonannya ditayangkan di negara berkenaan.

“Saya berasa terharu dan sangat bersyukur dengan sokongan peminat di sana. Kalau tengok di medium media sosial, peratusan pengikut saya di Indonesia lebih tinggi berbanding di Singapura.

“Tapi kita tidak boleh membandingkan kerana saya sangat menyayangi peminat di negara kelahiran Singapura. Ia negara kecil berbanding Indonesia yang sangat besar,” katanya.

Hannah yang sudah sembilan tahun membina nama dan karier seni di negara ini mula dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr Photografer, lakonannya bersama pelakon popular Syafiq Kyle pada 2017.

Namanya terus meniti di bibir peminat menerusi drama Andai Itu Takdirnya dan sekuel Andai Itu Takdirnya 2 yang juga adaptasi novel Siti Rosmizah berganding dengan pelakon popular Shukri Yahaya.

Mengenai pemilihan hero dalam drama pula, kata Hannah, dia selesa bekerjasama dengan semua pelakon lelaki yang pernah digandingkan dengannya.

Dalam drama popular Andainya Itu Takdir dan sekuelnya, Andai Itu Takdirnya 2, Hannah berganding dengan Shukri Yahaya.

Manakala, dalam drama bersiri ,The Hidden Hand, dia berganding dengan pelakon kacak Meerqeen selaku teraju utama.

Katanya, sikap profesional dan komunikasi yang baik di lokasi penggambaran menjadi perkara penting dalam memastikan kelancaran sesebuah produksi.

“Dari segi projek terbaharu pula, saya terbabit dengan penggambaran drama bersiri 60 episod berjudul Dendam Seorang Isteri untuk saluran Astro,” katanya.

Tercalon dalam ABPBH38

Berkongsi pencalonannya dalam kategori Gandingan Serasi Filem/Drama Popular bersama Shukri Yahaya menerusi drama Andai Itu Takdirnya 2, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-38 (ABPBH 38), Hannah menganggapnya sebagai rezeki dalam karier seninya.

Katanya, dia tidak mengetahui pencalonan berkenaan pada peringkat awal.

“Saya memang tidak sangka tercalon kerana pada mulanya, saya juga tidak tahu nama tersenarai dalam acara berprestij berkenaan.

“Bagi saya, semuanya soal rezeki. Kalau peminat dan penyokong suka gandingan lakonan saya dan Shukri serta mahu mengundi, saya amat menghargainya.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kerana setiap perkara itu bergantung pada soal rezeki masing-masing,” katanya.

Rumah tangga bahagia

Beralih sisi peribadinya pula, Hannah yang berkahwin dengan pelakon dari Singapura Imam Shah sekitar Februari 2021 mengakui rumah tangganya bahagia walaupun belum dikurniakan rezeki cahaya mata.

Menurutnya, dia bersyukur kerana suaminya juga memahami tuntutan kerjayanya sebagai pelakon.

“Suami sangat memahami dan memberikan sokongan padu kerana dia juga seorang pelakon di Singapura.

“Jadi, dia tahu bagaimana penatnya bekerja di set termasuk penggambaran drama dari pagi hinggalah selesai pada awal pagi, keesokannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news