ANTARA manfaat besar yang terzahir daripada kemajuan teknologi hari ini ialah kemudahan memperoleh maklumat sehinggakan hampir segala persoalan seolah-olah mempunyai jawapan di hujung jari melalui enjin carian dan kecerdasan buatan (AI). Media sosial pula menjadi pemangkin dengan membolehkan sesiapa sahaja menyampaikan pandangan kepada khalayak, termasuk dalam bidang yang tidak dikuasainya.
Baca juga: Puteri Balqis mohon maaf secara terbuka
Kemajuan ini turut mengaburkan pemisahan antara realiti dengan kepalsuan. Gambar dan video yang dimanipulasi boleh kelihatan asli. Kenyataan yang dipetik di luar konteks mampu mengubah maksud sebenar, manakala teknologi AI berupaya menghasilkan jawapan yang meyakinkan sekalipun mengandungi maklumat yang salah.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 7,967 aduan berkaitan kandungan deepfake diterima setakat 15 Jun 2026, berbanding 3,612 sepanjang 2025 dan 917 aduan sepanjang 2024. Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting: bagaimana kita dapat memastikan sesuatu maklumat benar sebelum mempercayai atau menyebarkannya?
Persoalan tentang hakikat ilmu dan bagaimana manusia mengenali kebenaran telah lama dibahaskan oleh para ulama Islam. Imam al-Ghazali, misalnya, menerusi al-Munqidh min al-Dalal membicarakan pencariannya terhadap ilmu yang benar-benar meyakinkan. Imam al-Nasafi pula memulakan karya akidahnya dengan menegaskan bahawa hakikat sesuatu perkara itu wujud dan manusia berupaya mengetahuinya. Perbahasan mengenai hakikat, sumber dan kesahihan pengetahuan inilah yang dikenali sebagai epistemologi atau teori ilmu.
Bagaimana manusia memperoleh ilmu?
Dalam al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah, Imam Najm al-Din al-Nasafi menjelaskan bahawa manusia memperoleh ilmu melalui tiga saluran utama, iaitu pancaindera yang sempurna (al-hawass al-salimah), berita yang benar (al-khabar al-sadiq) dan akal (al-‘aql). Huraian ini kemudiannya diperincikan oleh Imam al-Taftazani dalam Sharh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah.
Melalui pancaindera, manusia mengenali alam berdasarkan pemerhatian. Akal membolehkan manusia memahami perkara yang diperhatikan serta membuat pertimbangan berdasarkan bukti. Sementara itu, berita yang benar merupakan saluran pengetahuan yang tidak semestinya diperoleh melalui pengalaman sendiri. Dalam kerangka al-Nasafi, kategori ini merangkumi berita mutawatir dan khabar Rasul yang terbukti kenabiannya.
Kesepaduan ini memperlihatkan bahawa tradisi Islam mengiktiraf kemampuan akal serta pemerhatian empirikal. Wahyu pula menjadi kayu ukur dalam menentukan baik dan buruk serta sebagai sumber pengetahuan mengenai perkara yang tidak dapat dicapai oleh pengalaman manusia semata-mata termasuk hakikat kewujudan, dan tujuan kehidupan.
Antara mengetahui dengan menyangka
Kemudahan mendapatkan maklumat tidak semestinya menjadikan seseorang berilmu, apatah lagi pakar dalam sesuatu bidang. Membaca beberapa kenyataan atau menonton video pendek belum memadai untuk memahami persoalan yang memerlukan penelitian mendalam.
Imam al-Ghazali dalam al-Munqidh min al-Dalal memperlihatkan betapa pentingnya meneliti asas sesuatu pengetahuan. Beliau membahaskan kemungkinan pancaindera tersalah memberikan gambaran, sebagaimana sesuatu yang kelihatan tidak bergerak sebenarnya mengalami perubahan. Pengalaman ini membawa beliau meneliti persoalan keyakinan dan bagaimana manusia dapat memperoleh ilmu yang benar-benar pasti.
Al-Quran sendiri menggariskan tanggungjawab ini melalui Surah al-Isra’, ayat 36 yang melarang manusia mengikuti sesuatu perkara tanpa pengetahuan mengenainya. Surah al-Hujurat, ayat 6 pula memerintahkan penyelidikan terhadap berita yang dibawa oleh orang fasik agar tidak menimpakan kemudaratan kepada orang lain akibat kejahilan.
Prinsip tabayyun tersebut amat penting dalam kehidupan hari ini. Ini bagi mengelakkan sesuatu tuduhan tersebar luas sebelum kesahihannya dipastikan. Walaupun akhirnya terbukti salah, reputasi individu yang terlibat mungkin sudah terjejas. Keinginan menyebarkan berita dengan pantas tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab memastikan kebenarannya.
Ilmu memerlukan adab
Perbahasan mengenai ilmu tidak terhenti pada persoalan bagaimana pengetahuan diperoleh. Para ulama turut memberikan perhatian kepada adab yang perlu dipelihara sepanjang proses menuntut ilmu.
Imam Burhan al-Din al-Zarnuji dalam Ta’lim al-Muta’allim Tariq al-Ta’allum menekankan kepentingan menghormati ilmu serta mereka yang mengajarkannya. Beliau turut membincangkan peranan niat dan kesungguhan dalam pembelajaran. Penekanan ini menunjukkan bahawa memperoleh ilmu memerlukan pembentukan sikap yang sewajarnya, bukan sekadar pengumpulan maklumat.
Dalam pemikiran kontemporari, Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas menghuraikan adab sebagai pengenalan dan pengiktirafan terhadap kedudukan yang sewajarnya bagi sesuatu perkara. Dalam bidang keilmuan, adab menuntut manusia memahami kedudukan sesuatu pengetahuan serta menyedari batas kemampuan dirinya.
Seseorang yang mahir dalam teknologi tidak semestinya memahami selok-belok hukum agama. Begitu juga seorang pakar perubatan tidak secara automatik mempunyai kepakaran dalam ekonomi. Kewibawaan ilmu perlu dinilai berdasarkan penguasaan terhadap bidang yang dibicarakan, bukannya populariti seseorang.
Menghormati kepakaran tidak bermaksud menerima semua pandangan tanpa penelitian. Perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan perlu ditangani melalui kaedah keilmuan yang sesuai. Dalam keadaan tertentu, kesediaan mengakui bahawa sesuatu perkara belum diketahui lebih mencerminkan adab daripada memberikan jawapan tanpa asas yang kukuh.
Mengembalikan tujuan menuntut ilmu
Kemajuan teknologi turut menuntut kita menilai semula tujuan pendidikan. Jika maklumat boleh diperoleh dalam beberapa saat, apakah yang sebenarnya perlu dipelajari oleh manusia?
Pendidikan seharusnya membentuk kemampuan memahami sesuatu persoalan secara mendalam sebelum membuat kesimpulan. Pelajar perlu mengetahui mengapa sesuatu dakwaan dianggap benar dan bagaimana kesahihannya dapat ditentukan. Penguasaan kaedah tersebut membolehkan mereka menggunakan maklumat dengan lebih bertanggungjawab.
Dalam Islam, ilmu mempunyai hubungan yang rapat dengan tujuan kewujudan manusia sebagai hamba dan khalifah. Melalui ilmu, manusia mengenali tanggungjawabnya kepada Tuhan serta memahami bagaimana kehidupan perlu diatur menurut tuntutan kebenaran dan keadilan.
Atas sebab itu, kemajuan pengetahuan seharusnya disertai pembentukan akhlak. Orang yang benar-benar berilmu bukan sahaja mengetahui cara melakukan sesuatu, bahkan memahami sama ada perbuatan tersebut wajar dilakukan dan apakah akibatnya terhadap orang lain.
Masyarakat berilmu akhirnya tidak diukur melalui banyaknya maklumat yang dimiliki atau kepantasan memberikan jawapan. Ukurannya terletak pada kemampuan membuat pertimbangan yang benar dan bertindak secara bertanggungjawab berdasarkan pengetahuan tersebut.
Penulis Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd