am@hmetro.com.my
Baca juga: Malaysia, Perancis meterai 7 kerjasama termasuk REE
Kuala Lumpur: Mahasiswa perlu berani menolak rasuah dan mempertahankan prinsip integriti dalam setiap tanggungjawab digalas bagi mengelakkan amalan itu terus dinormalisasikan dalam masyarakat.
Naib Presiden 3 Perwakilan Pelajar Beruniform (PPBU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nur Batrisyia Danish Asmadi, 21, berkata, minat mendalami silibus Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) serta kesedaran terhadap kesan rasuah mendorongnya menyertai pasukan itu bagi meningkatkan pengetahuan mengenai antirasuah dan membantu membentuk generasi muda yang lebih berintegriti.
Menurutnya, pengalaman mempelajari silibus Kor SUAR memberi pendedahan mengenai kepentingan amanah, kejujuran dan tanggungjawab selain mengukuhkan hubungan serta kepercayaan antara ahli.
“Secara tidak langsung, saya belajar bahawa integriti bukan sahaja perlu diamalkan dalam organisasi, tetapi juga dalam persahabatan dan kehidupan seharian,” katanya.
Nur Batrisyia berkata, mesej antirasuah perlu disampaikan melalui pendekatan yang dekat dengan kehidupan mahasiswa.
“Ia bukan sekadar ceramah atau kempen, sebaliknya diterjemahkan menerusi tindakan seharian.
“Sikap jujur ketika menyiapkan tugasan, amanah dalam organisasi dan telus ketika menguruskan program antara amalan yang boleh dijadikan contoh kepada rakan sebaya,” katanya.
Beliau yang turut mewakili Kor SUAR dalam PPBU UniSZA berkata, tanggungjawab itu mengajarnya supaya menjaga nama baik organisasi, berlaku adil ketika membuat keputusan dan mengutamakan amanah berbanding kepentingan peribadi.
“Pemimpin bukan hanya dinilai melalui jawatan yang disandang, tetapi melalui keberanian mempertahankan prinsip dan keupayaan membawa pengaruh yang positif kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata, mahasiswa perlu memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan membudayakan integriti dalam kehidupan seharian, selaras dengan usaha melahirkan generasi pemimpin yang berilmu, amanah dan mempunyai jati diri kukuh.
“Jangan tunggu sehingga rasuah memberi kesan kepada diri sendiri barulah kita mengambil peduli,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd