LATEST

Maghribi, Senegal antara enam negara sah ke AFCON

Maghribi, Senegal antara enam negara sah ke AFCON

Johannesburg: Maghribi dan Senegal, masing-masing mendakwa menjuarai edisi terakhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), antara enam negara yang mengesahkan tempat ke kejohanan tahun depan.

Baca juga: 3 suspek rompak pajak gadai RM28.4 juta dihadapkan ke mahkamah hari ini

Cameroon, Benin, Burkina Faso dan Mali menjadi empat pasukan lain yang turut layak ke kejohanan dwitahunan itu, yang berlangsung dari 19 Jun hingga 17 Julai.

Kenya, Tanzania dan Uganda layak secara automatik sebagai tuan rumah bersama, namun tetap menyertai enam pusingan kelayakan bagi mendapatkan pengalaman beraksi dalam perlawanan kompetitif.

Cape Verde, yang seri dengan juara Piala Dunia 2026, Sepanyol pada peringkat kumpulan, dan mengheret Argentina ke masa tambahan, bergelut sejak kembali beraksi di pentas bola sepak Afrika.

Mereka mengalami kekalahan ketiga dalam Kumpulan K selepas tewas 2-0 di tempat lawan kepada Liberia yang berada di kedudukan lebih rendah.

Kekalahan di Paynesville itu menyaksikan Blue Sharks menghuni tangga tercorot kumpulan berkenaan.

Togo mencipta kejutan apabila menewaskan Algeria, pasukan yang layak ke Piala Dunia 2026, 3-0 dalam aksi Kumpulan I.

Semua gol dijaringkan pada babak pertama dengan Thibault Klidje, pemain kelab Scotland, Hibernian, meledak dua gol.

Selepas membelasah Niger 5-1 minggu lalu, Maghribi terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 1-0 apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi.

Gol tunggal Kumpulan A itu dijaringkan pemain tengah Ajax Amsterdam berusia 17 tahun, Abdellah Ouazane.

Senegal, yang menewaskan Sudan pada Isnin, perlu berterima kasih kepada Mozambique di tangga kedua kumpulan selepas kemenangan 1-0 pasukan itu di Ethiopia memastikan Teranga Lions mara dari Kumpulan J.

Senegal menewaskan tuan rumah, Maghribi, 1-0 menerusi jaringan Pape Gueye pada masa tambahan untuk menjuarai final AFCON edisi terbaru di Rabat tahun ini.

Bagaimanapun, Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) kemudian mengisytiharkan Maghribi sebagai juara selepas sebahagian besar pemain Senegal meninggalkan padang buat sementara waktu sebagai bantahan terhadap keputusan memberikan sepakan penalti, yang kemudian gagal disempurnakan Maghribi selepas permainan disambung semula.

Senegal mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland supaya keputusan CAF itu dibatalkan dan keputusan dijangka diumumkan bulan ini.

Selepas menewaskan Namibia 3-0 pada Isnin, Cameroon terpaksa menunggu 24 jam sebelum mengesahkan kelayakan dari Kumpulan G susulan kemenangan 1-0 Comoros di Congo Brazzaville.

Mali mencatat empat kemenangan daripada empat perlawanan kelayakan Kumpulan K hasil kejayaan 2-0 di Rwanda.

Modibo Sagnan menjaringkan gol pada pertengahan babak pertama sebelum Gaoussou Diallo menambah jaringan pada penghujung babak kedua.

Kemenangan 3-1 Burkina Faso di Mauritania memastikan kedua-dua pasukan itu dan Benin, yang menewaskan Republik Afrika Tengah 1-0 pada Isnin, mara dari Kumpulan F.

Pemain tengah muda yang berpangkalan di Belgium, Relebohile Mofokeng, menjaringkan dua gol pada babak kedua ketika Afrika Selatan merampas semula kedudukan teratas Kumpulan D daripada Guinea selepas menewaskan Kenya 2-1 di Nairobi.

Gol keduanya pada minit ke-86 dilihat memastikan kemenangan penuh buat Afrika Selatan, namun Mohammed Bajaber merapatkan jurang tidak lama kemudian sekali gus mencetuskan penamat perlawanan yang mendebarkan.

Nigeria ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu mengejut Kumpulan L, Guinea-Bissau, selepas seri tanpa jaringan dengan Tanzania di Zanzibar City.

Guinea-Bissau, yang terlepas kejohanan AFCON lalu selepas empat penampilan berturut-turut, menewaskan Madagascar 2-0 menerusi jaringan Mama Balde dan Mauro Rodrigues.

Dua pusingan perlawanan terakhir dijadual berlangsung dari 22 hingga 30 Mac, dengan 15 lagi slot kelayakan menjadi rebutan sebelum Afrika Timur menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak utama benua itu buat kali pertama sejak tahun 1976.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news