LATEST

Lelaki Bangladesh maut tertimbus tanah runtuh di Kepong

Lelaki Bangladesh maut tertimbus tanah runtuh di Kepong

am@hmetro.com.my

Baca juga: Gagal selesai krisis punca Ismail berundur

Kuala Lumpur: Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan 2A/1, Kampung Melayu Kepong berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.38 petang itu, mangsa yang berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jinjang ke lokasi selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima laporan menerusi talian MERS 999.

Beliau berkata, hasil operasi SAR itu menemukan mangsa tertimbus di bawah timbunan tanah dan disahkan meninggal dunia.

“Empat lagi mangsa warga Bangladesh berjaya diselamatkan dengan seorang mengalami kecederaan di kepala dan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.

“Tiga lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media tengah malam tadi.

Operasi berkenaan ditamatkan pada jam 6.38 petang selepas kawasan kejadian ditutup dan dikawal bagi tujuan keselamatan.

Anuar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news