nfazlina@nstp.com.my
Baca juga: 5,000 murid bakal terima kasut sekolah
Kota Bharu: Lebih tiga juta batang rokok putih seludup bernilai RM5.8 juta dirampas hasil penemuan sebuah lori terbiar di Kampung Tok Dokang, di sini, semalam.
Kejayaan itu susulan Op Taring Wawasan yang dijalankan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada jam 7.30 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata rampasan dilakukan hasil risikan dan pemerhatian selama tujuh jam terhadap lori berkenaan yang ditinggalkan di kawasan terbabit.
“Setelah menunggu beberapa jam, tiada individu yang datang menghampiri atau mengambil lori berkenaan.
“Pada jam kira-kira 7.30 pagi, pasukan serbuan membuat pemeriksaan dan menemui bungkusan guni berwarna hijau di bahagian belakang lori itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut kita mendapati bungkusan guni berkenaan mengandungi lebih tiga juta batang rokok putih.
“Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM5.64 juta, manakala lori berkenaan dianggarkan bernilai RM180,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM5.8 juta. Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Kota Bharu untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Pemantauan dan pemeriksaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada sebarang pembolosan dan aktiviti penyeludupan berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd