Los Angeles: Tiger Woods akan kembali beraksi dalam kejohanan golf kompetitif buat kali pertama selepas lebih dua tahun apabila menyertai Hero World Challenge di Bahamas bulan depan, menurut penganjur semalam.
Baca juga: Maghribi, Senegal antara enam negara sah ke AFCON
Woods, 50, disenaraikan dalam barisan peserta kejohanan Jelajah PGA yang menawarkan jumlah penyertaan terhad itu, yang berlangsung di Albany dari 3 hingga 6 Disember.
Ia menandakan penampilan pertama Woods dalam kejohanan rasmi Jelajah PGA sejak Julai 2024.
Juara 15 gelaran utama itu berdepan masalah kecederaan dan isu perundangan sejak penampilan terakhirnya.
Pada Mac lalu, dia terbabit dalam kemalangan kereta di Florida yang menyebabkan lesen memandunya digantung selama lima tahun.
Pihak berkuasa mendapati Woods tidak mengambil minuman beralkohol, namun terdapat petunjuk dia berada di bawah pengaruh bahan yang menjejaskan keupayaannya.
Woods, yang menjalani beberapa pembedahan belakang serta pembedahan akibat kecederaan parah pada kaki susulan satu lagi kemalangan kereta di California pada tahun 2021, turut memiliki dua pil mengandungi ubat tahan sakit opioid, hidrokodon, di dalam poketnya.
Dia enggan menjalani ujian air kencing sebelum didakwa, ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Woods pada mulanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh (DUI) sehingga menyebabkan kerosakan harta benda serta enggan menjalani ujian yang sah di sisi undang-undang.
Beberapa hari kemudian, dia mengumumkan keputusan untuk ‘berehat daripada golf’ bagi mendapatkan rawatan dan memberi tumpuan kepada kesihatannya.
Sejak kemalangan itu, Woods dilaporkan melakukan perjalanan ke luar Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan di sebuah pusat pemulihan di Switzerland.
Dia membuat penampilan pertama di khalayak ramai sejak ditahan pada Kejohanan Travelers Jelajah PGA pada Jun lalu, sebelum mencapai persetujuan pengakuan yang membawa kepada penggantungan lesen memandunya.
Woods belum memenangi sebarang kejohanan sejak kejayaannya menjuarai ZoZo Championship di Jepun pada tahun 2019.
© New Straits Times Press (M) Bhd