HANGZHOU – Demi memastikan ibu tersayang yang berusia 86 tahun dapat pulang ke rumah di puncak gunung dengan selamat, lima beradik sanggup berganding bahu membina laluan pendakian sepanjang gunung itu yang dilengkapi 430 anak tangga.Laluan yang mempunyai 11 selekoh itu dibina merentasi sebuah gunung di Kampung Yannan, Yueqing, wilayah Zhejiang, timur China.Kisah pengorbanan lima beradik itu tular di media sosial China sehingga laluan berkenaan mendapat gelaran ‘Tangga Langit Bakti Anak’ (Filial Piety Sky Ladder).Menurut laporan Chao News, ibu mereka yang enggan identitinya didedahkan mempunyai tiga anak lelaki dan dua anak perempuan.Anak perempuan bongsunya, Huang Zhulian, 58, berkata, dia bersama adik-beradiknya dilahirkan dan dibesarkan di sebuah rumah di puncak gunung berkenaan.Selepas bapanya meninggal dunia beberapa dekad lalu, mereka pernah beberapa kali memujuk ibu supaya tinggal bersama di bandar masing-masing.Bagaimanapun, ibu mereka yang sepanjang hayat menetap di kawasan pergunungan itu menolak kerana tidak biasa dengan kehidupan di bandar.Malah, wanita berkenaan perlu pulang ke rumah lamanya setiap tahun ketika Festival Qingming atau perayaan menyapu kubur bagi menziarahi dan membersihkan pusara suami serta ahli keluarga lain.”Laluan lama menuju ke rumah dipenuhi semak berduri, selain sering menjadi lokasi kemunculan ular sehingga menimbulkan kebimbangan kami adik-beradik terhadap keselamatan ibu,” katanya baru-baru ini.Susulan itu, Huang mencadangkan pembinaan laluan baharu bagi memudahkan ibunya pulang ke rumah dengan lebih selamat.Pada mulanya, hanya seorang kakaknya menyokong idea itu, namun hasil kegigihan Huang meyakinkan adik-beradiknya, tiga abang yang lain akhirnya bersetuju untuk menjayakan projek berkenaan.Mereka memulakan kerja pembinaan pada Ogos dengan memutuskan untuk meninggalkan laluan lama dan membaik pulih satu lagi trek di bahagian selatan gunung yang sudah bertahun-tahun tidak digunakan.Keseluruhan kos projek ditanggung sendiri oleh mereka tanpa mengupah kontraktor profesional, sebaliknya lima beradik itu berganding bahu menyiapkan pembinaan berkenaan.Huang bertanggungjawab membeli bahan binaan dan memantau kerja di tapak setiap hari, manakala abang-abangnya serta dua sepupu mereka membantu melakukan kerja fizikal termasuk mengangkut batu serta membancuh konkrit.Kakak Huang bersama abang iparnya pula menyediakan makanan serta menguruskan peralatan pembinaan.Anak saudara lelaki dan perempuannya turut membantu memindahkan bahan binaan dan membersihkan sisa runtuhan apabila mempunyai kelapangan.Laluan pejalan kaki baharu itu siap dibina pada Oktober lalu, namun kos keseluruhan projek tidak didedahkan.Menurut Huang, bahagian paling mencemaskan sepanjang kerja pembinaan adalah ketika memasang anak tangga di pinggir tebing.”Satu lagi cabaran besar ketika membawa bahan binaan ke puncak gunung. Anak lelaki saya terpaksa bertanyakan beberapa pihak sebelum menyewa dron berkapasiti muatan berat bagi mengangkut bekalan, satu demi satu beg.”Kalau orang di luar sana nak kata kami bertindak bodoh, terpulang. Kami tak peduli. Membina jalan tetap satu perbuatan yang baik,” ujarnya.Difahamkan sebaik laluan itu siap, ia bukan sahaja memanfaatkan ibu mereka, tetapi juga penduduk kampung, pengutip herba dan pendaki gunung.Mengimbas kembali pengorbanan ibunya ketika membesarkan adik-beradik, Huang berkata, kini tiba giliran mereka pula untuk menjaga dan membalas jasa wanita berkenaan.”Ketika kami masih kecil, ibu memimpin tangan kami menuruni gunung untuk melihat dunia luar.”Namun, kini ibu sudah tua dan kami pula membina jalan untuknya. Sudah tiba giliran kami memimpin tangan dan membawanya pulang ke rumah,” jelasnya.
Lima beradik bina 430 anak tangga sepanjang gunung demi ibu 86 tahun
Malay News | https://www.malay.news/lima-beradik-bina-430-anak-tangga-sepanjang-gunung-demi-ibu-86-tahun/