WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memperketat kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi bagi menghalang China daripada mendapatkan akses kepada teknologi berkenaan menerusi pusat data yang beroperasi di negara ketiga.Dasar baharu yang diumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump pada Isnin itu turut melibatkan Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil yang menghendaki firma di negara terbabit mendapatkan lesen eksport dari Washington bagi penghantaran cip AI tertentu.Langkah itu bertujuan menutup ruang yang membolehkan syarikat Beijing memintas sekatan sedia ada dengan menyewa kapasiti pengkomputeran daripada pusat data di luar negara.Jabatan Perdagangan AS menjelaskan bahawa kawalan itu bertujuan menghalang teknologi sensitif negara berkenaan daripada jatuh ke tangan pihak yang dikenakan sekatan melalui akses kepada perkhidmatan pengkomputeran jarak jauh.Di bawah dasar itu, pengendali pusat data di luar negara yang menyediakan kapasiti pengkomputeran berskala besar kepada syarikat berpusat di China perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa AS dalam tempoh 90 hari.Kegagalan mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan syarikat terbabit berdepan sekatan eksport, sekali gus menjejaskan keupayaan mereka mendapatkan cip dan teknologi keluaran AS pada masa hadapan.Bagaimanapun, keperluan berkenaan tidak meliputi semua jenis penggunaan cip AI termasuk sistem yang menyokong operasi syarikat peruncitan dalam talian dan media sosial.Selain itu, penghantaran cip semikonduktor canggih ke Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil turut tertakluk kepada kelulusan eksport AS bagi mengurangkan risiko teknologi berkenaan disalurkan semula ke Beijing.Perkembangan itu memberi implikasi kepada Malaysia yang semakin menjadi tumpuan pelaburan dalam sektor pusat data dan infrastruktur digital.Pengendali pusat data tempatan yang menyediakan kemudahan pengkomputeran kepada syarikat China berkemungkinan perlu menilai semula operasi masing-masing bagi memastikan pematuhan terhadap syarat baharu Washington.Keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kesan kawalan eksport berkenaan terhadap pelaburan pusat data serta perkembangan industri teknologi di rantau Asia Tenggara.Pengumuman itu dibuat ketika Trump mengadakan lawatan ke Asia menjelang pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping di Shenzhen pada Khamis ini.Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan AS-China yang terus berdepan ketegangan, khususnya membabitkan perdagangan, keselamatan dan persaingan dalam pembangunan teknologi canggih.Ketika ini, Washington terus berdepan tekanan untuk memperketat penguatkuasaan kawalan eksport cip AI susulan kebimbangan teknologi buatan AS boleh disalurkan kepada China melalui rangkaian perniagaan dan pusat data di negara ketiga.”Persaingan menguasai industri AI menjadikan cip semikonduktor berteknologi tinggi sebagai aset strategik dalam perebutan pengaruh teknologi antara Washington dan Beijing.Sekatan terbaharu itu mencerminkan usaha AS mengawal akses China kepada teknologi canggihnya bagi menghalang Beijing daripada memperkukuh keupayaan dalam bidang kecerdasan buatan dan pengkomputeran berprestasi tinggi. – Agensi
‘Perang cip’ AS-China
Malay News | https://www.malay.news/perang-cip-as-china/