Isu kuasa guru untuk merotan murid kembali menjadi perhatian, namun Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan hukuman berkenaan sebenarnya masih dibenarkan di sekolah dan tidak pernah dimansuhkan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, hukuman rotan boleh dikenakan terhadap murid lelaki yang melakukan kesalahan tertentu, tetapi pelaksanaannya wajib mematuhi garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan.
Baca juga: Tiada negara mampu hadapi ancaman sendirian, Khaled seru ASEAN perkukuh kerjasama
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa bukan semua guru mempunyai kuasa untuk melaksanakan hukuman tersebut kerana tanggungjawab itu hanya diberikan kepada guru besar, pengetua atau guru yang mendapat kebenaran secara nyata daripada pihak berkenaan.
Malah, tindakan merotan murid juga tidak boleh dilakukan secara melulu, khususnya ketika guru berada dalam keadaan marah atau sehingga mengakibatkan kecederaan.
“Setiap hukuman perlu mempunyai asas yang jelas dan direkodkan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.
“Kementerian Pendidikan akan memperincikan semula tatacara ini supaya sekolah, ibu bapa dan masyarakat memahami dengan jelas apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan,” katanya, petik laporan Utusan Malaysia.Kredit Foto: FB Fadhlina Sidek
Menurut Fadhlina, usaha memperjelas semula prosedur berkenaan bertujuan memastikan tindakan disiplin yang diambil pihak sekolah tidak tersasar daripada peraturan sedia ada, selain mengelakkan hukuman rotan disalahgunakan.

Perkara itu dibangkitkan susulan gesaan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Nor Hisam Nordin supaya kuasa guru disiplin dipertimbangkan semula bagi membolehkan masalah salah laku murid ditangani dengan lebih berkesan.
Nor Hisam melihat kekangan kuasa yang dihadapi golongan pendidik, termasuk berkaitan hukuman rotan, sebagai antara cabaran dalam memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pelajar bermasalah.
Beliau turut berpandangan bahawa kelewatan menangani salah laku di peringkat sekolah boleh menyebabkan masalah disiplin berterusan sehingga membawa kepada kesalahan yang lebih serius.
Susulan kebimbangan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPM sedang meneliti pendekatan yang bersesuaian bagi membantu pihak sekolah menangani cabaran disiplin dalam kalangan murid.
Justeru, penjelasan KPM memberi gambaran bahawa isu utama bukanlah ketiadaan hukuman rotan, sebaliknya pemahaman terhadap had kuasa guru serta tatacara pelaksanaannya supaya tindakan disiplin dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan murid.
Sumber: Utusan Malaysia (Maisarah Sheikh Rahim)