KUALA LUMPUR: Pendapatan syarikat asing yang beroperasi di Malaysia mencecah RM64.3 bilion pada suku ketiga 2026, menjadi faktor utama defisit akaun pendapatan primer negara melebar kepada RM41.8 bilion.
Baca juga: Terkini! Tuanku Muhriz Titah Ismail Lasim Teruskan Tugas, Peletakan Jawatan Belum Diperkenan
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, defisit itu meningkat RM14.6 bilion berbanding RM27.2 bilion yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini.
“Peningkatan defisit ini disebabkan terutamanya oleh pendapatan lebih tinggi yang diperoleh syarikat asing beroperasi di Malaysia,” menurut DOSM.
Pada masa sama, pendapatan daripada pelaburan Malaysia di luar negara berjumlah RM25.1 bilion, disokong kegiatan perniagaan dan pelaburan dalam pasaran antarabangsa.
Bagaimanapun, angka RM64.3 bilion itu tidak menggambarkan keseluruhan pendapatan dibawa keluar dari negara kerana sebahagian keuntungan syarikat milikan asing dikekalkan untuk dilaburkan semula di Malaysia.
Prestasi perniagaan lebih baik dan keuntungan yang dilaburkan semula membantu meningkatkan aliran masuk bersih Pelaburan Langsung Asing (FDI) kepada RM14.3 bilion, hampir dua kali ganda berbanding RM7.4 bilion pada suku sebelumnya.
Aliran FDI tertumpu dalam sektor perkhidmatan, khususnya subsektor maklumat dan komunikasi berkaitan kegiatan pusat data, diikuti pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian.
Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat menjadi sumber utama aliran masuk itu.
Walaupun defisit pendapatan primer atau aliran keluar bersih pendapatan melebar, akaun semasa Malaysia kekal mencatat lebihan RM5.7 bilion, disokong prestasi lebih kukuh dalam perdagangan barangan.
Akaun barangan merekodkan lebihan RM56.2 bilion, meningkat daripada RM40.7 bilion pada suku kedua, selepas eksport melonjak kepada RM409.7 bilion daripada RM359.3 bilion.
Pertumbuhan eksport dipacu permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik, khususnya yang berkaitan dengan infrastruktur kecerdasan buatan, pengkomputeran berprestasi tinggi dan teknologi memori termaju.
Akaun perkhidmatan pula mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM6.9 bilion, berbanding RM700 juta pada suku sebelumnya, susulan peningkatan bayaran bagi perkhidmatan profesional dan rundingan pengurusan dalam industri berkaitan elektrik dan elektronik.
Namun, terimaan perjalanan meningkat kepada RM33.2 bilion, manakala eksport perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat berkembang kepada RM12 bilion, disokong kegiatan pusat data dan permintaan terhadap perkhidmatan digital.
Akaun kewangan beralih kepada aliran masuk bersih RM19.8 bilion daripada aliran keluar bersih RM27 bilion pada suku kedua, didorong pelaburan langsung, pelaburan portfolio dan pelaburan lain.
Pada akhir September, kedudukan terkumpul FDI di Malaysia mencecah RM1.234 trilion, hampir dua kali ganda nilai Pelaburan Langsung di Luar Negeri sebanyak RM639.7 bilion.
Keseluruhan aset kewangan negara berjumlah RM2.89 trilion berbanding liabiliti RM2.93 trilion, menjadikan Malaysia mencatat liabiliti pelaburan antarabangsa bersih RM36 bilion.
© New Straits Times Press (M) Bhd