LATEST

10 EXCO Melaka dijangka angkat sumpah esok

10 EXCO Melaka dijangka angkat sumpah esok

am@hmetro.com.my

Baca juga: ‘Menteri, Timbalan tak setuju dasar kerajaan, letak jawatan’ – Khalid

Ayer Keroh: Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka dijangka mengangkat sumpah jawatan esok, dengan barisan pentadbiran baharu itu bakal menyaksikan gabungan muka lama dan baharu bagi memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Istiadat angkat sumpah jawatan dijadual berlangsung di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Seri Negeri, di sini di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, sekali gus melengkapkan pembentukan pentadbiran baharu kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dijangka terus diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai EXCO Kanan dalam barisan pentadbiran baharu itu.

Selain Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, empat lagi muka lama yang dijangka dikekalkan ialah ADUN Telok Mas, Datuk Abd Razak Abd Rahman; ADUN Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; ADUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan dan ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Bagaimanapun, tumpuan turut terarah kepada kemungkinan kemasukan empat muka baharu iaitu ADUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; ADUN Klebang yang juga Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong; ADUN Gadek selaku Timbalan Pengerusi MIC negeri, S Nadarajah serta ADUN Bukit Katil merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Muhammad Ridzuan Sarif.

Sementara itu, ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dijangka menjadi wakil wanita dalam barisan EXCO baharu berkenaan.

Perkembangan itu menyaksikan Ab Rauf dijangka mengekalkan keseimbangan antara pemimpin berpengalaman dengan muka baharu bagi membentuk pasukan pentadbiran yang lebih mantap dan berupaya melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Terdahulu, satu pertemuan tertutup antara Ab Rauf dengan semua 24 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berlangsung di Seri Negeri, pagi tadi.

Pertemuan itu dipercayai antara lain membincangkan pembentukan barisan pentadbiran baharu, termasuk penyelarasan peranan wakil rakyat dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai senarai penuh EXCO mahupun portfolio yang bakal disandang setiap ADUN terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news