LATEST
National

BERSATU hilang arah, saya ‘give up’ – Khir Toyo

BERSATU hilang arah, saya ‘give up’ – Khir Toyo

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memilih meninggalkan BERSATU selepas parti itu didakwa hilang arah tuju dan gagal memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

Baca juga: Lelaki tinggalkan lori rosak tepi jalan hingga jadi punca nahas maut didenda RM5,000

Katanya, sepanjang menyertai BERSATU, beliau mendapati parti berkenaan lebih banyak dibelenggu pergolakan dalaman berbanding membincangkan isu rakyat.

“Apa yang saya nampak, mereka (BERSATU) asyik bergaduh sesama sendiri dan terus menerus memecat orang.

PRN Johor, majoriti calon BERSATU hilang deposit

“BERSATU tidak belajar daripada kekalahan di (Pilihan Raya Negeri – PRN) Johor apabila kehilangan deposit di hampir semua kawasan.

“Kekalahan dalam PRN berterusan ke Negeri Sembilan. Melihat situasi ini, saya lihat BERSATU sudah hilang arah sekali gus menyebabkan saya ‘give up’ (putus asa) dengan parti ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keputusan menyertai Parti Wawasan Negara (WAWASAN) sejak awal Oktober lalu dibuat kerana mahu terbabit dalam usaha penyatuan ummah.

“Sudah tiba masanya untuk orang Melayu bersatu. Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu mahu berkumpul dalam satu parti.

“Kini, penyatuan ummah bukan sekadar kehendak parti, namun ia adalah aspirasi rakyat dan sebagai parti, peranannya adalah untuk membantu rakyat,” katanya.

Khir Toyo sertai WAWASAN

Mengulas status keahliannya dalam BERSATU, beliau berkata penyertaannya dalam WAWASAN secara automatik akan menyebabkan beliau dipecat daripada parti berkenaan.

“Apabila saya sertai WAWASAN, kiranya saya dipecat. Saya jangka surat (pemecatan daripada BERSATU) akan diterima dalam tempoh sebulan,” katanya.

Penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang selama tiga penggal itu dalam BERSATU diumumkan Ogos tahun lalu oleh Ketua BERSATU Melaka ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, yang kini turut menyertai WAWASAN.

Dr Mohamad Khir dan Abdul Rahim adalah bekas ahli UMNO.

Dr Mohamad Khir berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor dari 2000 hingga 2008.

Beliau dipenjarakan 12 bulan pada 2015 selepas disabitkan kesalahan menyalahgunakan kuasa berhubung pembelian dua lot tanah dan sebuah rumah di Shah Alam, sebelum dibebaskan secara parol selepas menjalani hukuman selama enam bulan.

Beliau cuba menghidupkan semula kerjaya politiknya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 dengan menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) memilih Ketua UMNO Sungai Besar ketika itu, Datuk Seri Jamal Yunos, sebagai calon yang akhirnya tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news