LATEST
National

Karier Hafizuddin berakhir sekelip mata

Karier Hafizuddin berakhir sekelip mata

KUALA LUMPUR: Hanya empat bulan selepas melakar pencapaian terbaik dalam kariernya dengan meraih pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026, perjalanan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin dalam sukan itu berakhir susulan kemalangan jalan raya, Isnin lalu.

Baca juga: BERSATU hilang arah, saya ‘give up’ – Khir Toyo

Atlet berusia 22 kini terpaksa menerima hakikat kehilangan tangan kanan selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, keadaan Hafizuddin yang meraih emas kategori 88 kilogram (kg) di Glasgow, kini stabil dan dia sudah sedar sepenuhnya serta mampu berbual, tersenyum dan menerima kunjungan tetamu.

Beliau berkata, meskipun sedar akan kesan kecederaan terhadap masa depannya, Hafizuddin dilihat tabah dan masih menunjukkan semangat tinggi ketika diziarahi di hospital.

“Alhamdulillah, keadaannya semakin baik. Dari segi fizikal, dia nampak begitu tabah menghadapi cabaran yang turut memberi kesan kepada masa depan kehidupannya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Hafizuddin.

Ayub mengesahkan penglibatan Hafizuddin dalam sukan angkat berat sudah berakhir, malah peluang untuk beralih ke sukan para seperti powerlifting adalah mustahil.

Beliau berkata, pilihan untuk menceburi acara lontar peluru juga dilihat tipis kerana kecederaan membabitkan tangan dominan atlet itu, namun PABM tidak menolak kemungkinan untuk mengenal pasti sukan para lain yang bersesuaian.

Pada masa yang sama, PABM merancang memberi pendedahan awal kepada Hafizuddin untuk menceburi bidang kejurulatihan, khususnya di peringkat negeri Perlis, dengan mengambil kira pengalaman luasnya sebagai atlet sejak berusia 14 atau 15 tahun.

“Kita mahu memberi ruang dan peluang kepadanya untuk menceburi bidang kejurulatihan pada peringkat awal.

“Pengalamannya sebagai atlet sejak usia muda, melalui pelbagai cabaran, adalah sesuatu yang bernilai dan boleh dimanfaatkan untuk membimbing atlet lain,” katanya.

Beliau mengakui kejadian yang berlaku itu memberi kesan besar kepada perancangan jangka panjang sukan angkat berat negara kerana Hafizuddin adalah antara prospek terbaik untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik dan Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.

“Perasaan saya bercampur-baur antara terkejut dan terkesan kerana kejadian ini berlaku ketika sukan angkat berat negara sedang melalui tahun yang cukup cemerlang, termasuk meraih tiga pingat perak dan dua gangsa pada Sukan SEA 2025 dan kejayaan memenangi Trafalgar Trophy (juara keseluruhan dengan lima emas) pada Sukan Komanwel termasuk menerusi sumbangan Hafizuddin.

“Namun, berita sedih ini memberi kesan kepada perancangan jangka panjang kami kerana Hafizuddin adalah antara prospek terbaik negara.

“Kami perlu berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk menyusun semula perancangan serta mencari dan melahirkan atlet baharu bagi mengisi kekosongan dalam kategori berkenaan,” katanya yang turut memaklumkan PABM sudah menyalurkan sumbangan awal kepada Hafizuddin dan bersedia membantu keluarganya sekiranya diperlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news